Sahabat saya perlu berlatih meletakkan kereta secara selari menjelang hari ujian memandunya yang tidak lama lagi. Saya berdoa agar kami dapat mencari tempat yang selamat untuk mengajarnya, dan timbul idea untuk pergi ke gereja kejiranan yang mempunyai tempat letak kereta yang luas. Selepas kami menyediakan ruang letak kereta menggunakan kerusi lipat—yang ternyata kurang ideal, sahabat saya membuat percubaan pertamanya untuk mengundurkan kereta ke ruang di antara kerusi itu.
Kemudian, pastor gereja itu keluar dengan kon-kon oren di tangan, seperti yang digunakan dalam ujian memandu. Dia memperkenalkan dirinya dan bertanya, “Bolehkah kamu menggunakan kon-kon ini?” Dia menjelaskan bahawa pada minggu sebelumnya, anggota jemaah mereka telah membincangkan cara untuk membantu jiran yang baru berpindah ke komuniti itu. “Kami berbincang tentang membenarkan orang ramai menggunakan kon-kon ini di tempat letak kereta kami untuk berlatih meletak kereta.” Mereka telah bersedia untuk membantu orang lain, dan betapa besar berkatnya itu kepada sahabat saya.
Bersedialah untuk membantu orang lain. Itulah yang benar-benar dilakukan oleh Tuhan untuk kita dan dalam kita. Kita “telah disediakan terlebih dahulu oleh Allah” untuk melakukan perbuatan baik dan mengambil berat terhadap orang lain (Efesus 2:10). Rasul Paulus berkata, “kerana kita ini buatan-Nya” (ayat 10), jadi kita melayani di bawah arahan-Nya dan demi tujuan-Nya. Penyelamatan ialah kurnia Tuhan (ayat 8), yang “kaya dengan belas kasihan” (ayat 4). Perbuatan baik kita merupakan pekerjaan Tuhan melalui kita. Dia telah mempersiapkan kita dan akan memberi kita belas kasihan serta hikmat yang kita perlukan untuk menjangkau orang lain.
