Pada suatu petang bulan April, berjuta-juta orang berkumpul di sepanjang laluan yang telah dipetakan merentasi Mexico dan Amerika Syarikat untuk menyaksikan gerhana matahari penuh yang jarang berlaku. Sekolah-sekolah membenarkan murid-murid pulang awal, bandar-bandar kecil menjadi meriah dengan kehadiran para pelancong, dan para jiran mengatur kerusi di halaman rumah sambil memakai cermin mata pelindung untuk menyaksikan keajaiban itu. Ketika kru televisyen merakam kiraan detik menuju saat “gerhana penuh”, orang ramai menjadi senyap, kecuali satu ungkapan yang diulang-ulang: “Oh Tuhanku!”

Hal itu menarik perhatian saya. Saya tidak pasti mengapa para pemerhati itu memilih ungkapan tersebut pada saat itu, tetapi saya percaya bahawa apabila manusia berhadapan dengan sesuatu yang luar biasa dan menakjubkan, mereka merasakan keperluan untuk mengakui Seseorang. Seseorang untuk diucapkan terima kasih, Seseorang untuk disembah. Apabila kita memandang ke langit, respons kita ialah rasa kagum. Seperti yang ditulis oleh Daud: “Seluruh langit mengakui kemuliaan Allah; dan cakerawala menunjukkan ciptaan-Nya” (Mazmur 19:1).

Penulis Injil Lukas menceritakan saat-saat terakhir Yesus di kayu salib. “Ketika itu kira-kira jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan, kerana matahari berhenti bersinar” (Lukas 23:44-45). Matius pula mencatat reaksi terhadap peristiwa ini: “Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Yesus melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, ‘Benarlah Dia Anak Allah!’” (Matius 27:54). Mereka tidak dapat menahan diri daripada mengakui Tuhan sebagai Seseorang yang layak disembah.

Dengan penuh kerendahan hati dan kekaguman, aku menyembah-Mu, ya Tuhanku.