Ayah Branden sedang melalui fasa akhir hidupnya disebabkan kanser ketika berusia sekitar lima puluhan. Maka Branden memujuk ibu bapanya untuk tinggal bersama dengannya supaya dia dapat menjaga mereka. Ayahnya menyukai suasana tropika, tetapi dia sudah tidak mampu untuk mengembara, jadi Branden menjadi kreatif. Dia membina sebuah kolam di belakang rumah ibu bapanya, memasukkan ikan, dan memasang air terjun kecil yang mengalir di atas batu. Dia membawa masuk beberapa lori pasir pantai, menanam pokok pisang, memasang lampu dan obor hiasan, serta membina bumbung untuk berteduh. Ayahnya menghabiskan hari-hari terakhirnya dengan menikmati suasana seperti pulau tropika di halaman rumah.

Tindakan Branden mencerminkan keharmonian antara ibu bapa dan anak-anak seperti yang digambarkan dalam Keluaran 20. Melalui Musa, Tuhan memerintahkan orang Israel: “Hormatilah ibu bapamu, supaya lanjut usiamu di bumi yang TUHAN, Allahmu, kurniakan kepadamu” (Keluaran 20:12). Perintah ini lahir daripada perintah untuk mengasihi dan menghormati Bapa kita yang di syurga (ayat 3-8), dan menjadi penghubung kepada lima perintah terakhir yang mengajar kita bagaimana mengasihi dan menghormati sesama manusia: jangan membunuh, jangan berzina, jangan mencuri, jangan berdusta, dan jangan mengingini milik orang lain (ayat 12-17).

Menghormati ibu bapa mungkin mudah bagi sesetengah orang. Namun, bagi yang lain, ia sangat sukar kerana ada yang mengalami terlalu banyak luka dan kekecewaan. Luka lama sukar sembuh. Kita dapat menyerahkan semua itu kepada Tuhan, Bapa kita, yang memahami kesakitan tersebut. Dialah yang memampukan kita hidup dalam kasih-Nya.