Di pantai selatan England, ada dua orang wanita yang kedua-duanya bernama Kate mengendalikan sebuah kelab yang dipanggil Kelab Keranda. Mereka mewujudkan tempat ini supaya orang ramai dapat membuat persiapan menghadapi kematian mereka kelak dengan memilih dan menghias keranda sendiri. Ayah kepada salah seorang Kate meninggal dunia ketika dia berusia tiga belas tahun, “Kematian itu sungguh mengerikan”, katanya. Tiada sesiapa mahu bercakap tentangnya.” Jadi, kelab ini diadakan supaya orang ramai lebih berani dan berasa senang untuk bercakap tentang kematian, kerana semua orang akan mengalaminya suatu hari nanti.
Kematian mungkin dianggap “normal” kerana semua orang akan menemui ajal masing-masing. Namun, mereka yang mengasihi dan melayani Yesus dapat menghadapi kematian tanpa rasa takut, seperti yang kita lihat dalam perbualan Yesus dengan sahabat-Nya yang dikasihi, Marta, selepas kematian saudara lelakinya. Yesus berjanji kepadanya bahawa Lazarus akan “hidup kembali” (Yohanes 11:23). Dia berkata bahawa Dialah “kebangkitan dan hidup” dan “Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya” (ayat 25-26). Marta pun memberikan salah satu pengakuan iman yang penting dalam Perjanjian Baru bahawa Yesus ialah “Kristus, Anak Allah” (ayat 27). Marta percaya.
Kita mungkin berminat atau tidak berminat untuk menghias keranda kita sendiri, tetapi setiap kita boleh membuat persiapan menghadapi kematian dengan meletakkan harapan kita kepada Tuhan, serta mempercayai penyelamatan yang ditawarkan oleh Yesus. Dengan mengetahui bahawa kita akan terus hidup walaupun selepas mati, kita akan mendapat penghiburan, harapan dan damai sejahtera yang sebenar. Kita boleh bersama-sama dengan Marta percaya bahawa Yesus ialah Mesias, Penyelamat kita.
ILHAM
Semasa pelayanan Yesus di dunia, Dia memperlihatkan kuasa-Nya atas kematian dengan membangkitkan beberapa individu daripada kematian. Antaranya ialah anak perempuan Yairus (MARKUS 5:21-24, 35-43), anak lelaki seorang balu di Nain (LUKAS 7:11-17), dan Lazarus (YOHANES 11:1-44). Kristus bukan sahaja berkuasa atas kematian, malah Dialah sumber kehidupan: “Hidup ada di dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia” (1:4). Kristus mengorbankan diri-Nya di kayu salib untuk menebus kita daripada dosa, manakala kebangkitan-Nya membuka jalan kepada kehidupan abadi (LIHAT 1 KORINTUS 15:54-58). Apabila kita meletakkan kepercayaan kita kepada Yesus, kita turut menerima kehidupan kebangkitan-Nya—selama-lamanya. Oleh sebab kebangkitan-Nya, kita boleh berkata dengan yakin, “Maut telah ditelan dalam kemenangan” (AYAT 54).
