Dalam satu lawatan mengajar ke Moscow, saya mengambil keputusan untuk menaiki kereta api bawah tanah untuk makan tengah hari. Ketika berdiri di dalam gerabak, saya mula bersiul hanya kerana saya berasa gembira selepas sesi mengajar pada pagi itu yang menyeronokkan dan hari itu juga indah. Para penumpang memandang saya seolah-olah saya tidak waras. Apabila saya kembali ke sekolah, saya memberitahu seorang kakitangan pejabat bahawa para penumpang di kereta api itu kelihatan begitu murung dan tertekan sehingga mereka memandang pelik ketika saya bersiul. Dia dengan sopan memberitahu saya, “Ya, hidup mereka memang sukar, tetapi bukan itu sebabnya mereka memandang. Mereka memandang kerana bersiul di tempat awam dianggap tidak sopan di sini.”

Biasanya kita membuat andaian berdasarkan faktor luaran yang mungkin tidak ada kaitan dengan keadaan sebenar. Kita diingatkan akan kisah tentang pelantikan Daud sebagai raja Israel yang baru. Ketika nabi Samuel melihat anak sulung Isai, dia berfikir, “Sesungguhnya, orang yang akan dilantik TUHAN sedang berdiri di hadapan-Nya” (1 Samuel 16:6). Tetapi Tuhan berfirman kepada Samuel, “Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi, kerana Aku telah menolak dia. Allah tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi TUHAN melihat hati” (ayat 7).

Menilai seseorang berdasarkan penampilan akan membawa keputusan yang salah. Lebih baik kita membiarkan Tuhan yang menilai. Dialah yang melihat isi hati yang sebenar.