Semasa saya masih kecil, saya sangat suka pergi ke gereja bersama keluarga setiap pagi dan petang Ahad. Pastor kami seorang yang ceria dan selalu melibatkan kanak-kanak dalam aktiviti gereja, serta menggalakkan saya memupuk minat dalam penulisan. Guru-guru sekolah Minggu dan pastor telah mengajar saya untuk mengasihi dan memahami firman Tuhan. Pada setiap malam Ahad pula, biasanya ada penceramah jemputan dan mubaligh yang datang ke gereja. Perkongsian mereka menyentuh hati saya untuk terlibat dalam kerja-kerja misi. Gereja kami memang menepati slogan yang dibuat oleh pastor, iaitu “Gereja yang ‘penyayang di Jalan Coldwater.” Walaupun gereja kami tidak sempurna, setiap orang adalah seperti sebuah keluarga. Sejak itu, saya terus menghadiri gereja (walaupun terkadang susah mencari gereja yang sesuai), dan saya tetap mendapat semangat dan semakin kuat dalam iman saya.

Seperti kita pada zaman ini, para pengikut Yesus pada zaman gereja awal juga memerlukan sokongan dan galakan. Mereka faham bahawa adalah penting untuk berkumpul bersama orang percaya yang lain. (Kisah Para Rasul 2:46). Mereka merupakan sebuah keluarga. Bersama-sama, mereka saling membina ketika kehidupan dan pelayanan kepada Tuhan menjadi sukar. Mereka berkumpul untuk berdoa, mempelajari Alkitab, memuji Tuhan, bersekutu, dan makan bersama (ayat 42). Hasilnya, Tuhan menambah bilangan mereka (ayat 47).

Mencari gereja yang sefahaman mungkin mengambil masa, tetapi ia sangat penting. Hidup ini sukar untuk dihadapi sendirian, dan itulah sebabnya Tuhan memberi kita keluarga dan komuniti. Gereja ialah komuniti iman yang sangat baik untuk membina hubungan, persahabatan, dan rasa kebersamaan antara orang ramai.