Ketika saya menghadiri kelas Alkitab pada usia dua puluh enam tahun, saya berasa bingung. Beberapa komen daripada rakan sekelas saya terasa agak mengecewakan. Mereka nampaknya mempunyai begitu banyak masalah. Saya pun bertanya, “Jika kita orang Kristian, mengapakah kita begitu murung? Bukankah kita sudah tahu bagaimana pengakhiran kisah kita yang sebenar?” Apa yang saya maksudkan adalah janji hidup kekal dalam Kristus, dan janji-janji di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa Tuhan sentiasa menjaga umat-Nya. Pengajar Alkitab itu hanya tersenyum dan meneruskan pengajaran. Namun, soalan-soalan saya itu terus saya ingati hingga bertahun-tahun.

Akhirnya, realiti hidup benar-benar menghentam saya. Kehilangan pekerjaan, kematian orang tersayang, penyakit, dan pelbagai cabaran lain membuat saya patah semangat. Ya, janji-janji Tuhan memang menghiburkan dan benar, tetapi janji-janji itu tidak bermakna hidup kita akan sentiasa mudah. Yesus sendiri berkata bahawa kita akan menghadapi penderitaan (Yohanes 16:33).

Secara semula jadi, kita pasti merasakan kesan daripada penderitaan tersebut, seperti apa yang dialami oleh Ayub. Dia diuji dengan sangat berat: kehilangan anak-anak, harta benda dan kesihatannya (Ayub 1:13-20; 2:7). Sahabat-sahabatnya datang untuk menghiburkannya (Ayub 2:11-13). Pada mulanya, mereka sekadar menemani sahabat mereka dalam diam, kerana mereka melihat “betapa berat sekali penderitaannya” (ayat 13). Tetapi kemudian mereka mula mengajukan soalan-soalan yang tidak membantu—tidak jauh bezanya dengan soalan yang pernah saya ajukan di kelas Alkitab.

Apabila kita berhadapan dengan orang lain yang sedang menghadapi kesusahan, Roh Kudus menolong kita bertindak dengan kasih dan empati. Dan apabila kita sendiri mengalami kesedihan, kita boleh mengingat kembali penghiburan yang ada dalam janji-janji Tuhan.