Di Santa Fe, New Mexico, ribuan orang berkumpul setiap tahun untuk membakar Zozobra—patung besar setinggi kira-kira 15 meter yang diisi dengan kebimbangan, bil, dan penyesalan mereka. Mereka menjerit, “Bakar dia!” dengan harapan api akan memusnahkan segala ketakutan dan masalah mereka, serta memberi permulaan baru. Ritual itu mencerminkan kerinduan mendalam manusia untuk dilepaskan daripada ketakutan, rasa bersalah, dan kegagalan. Ritual yang dramatik, tetapi tidak berkuasa. Api boleh memusnahkan kertas, tetapi bukan rasa bersalah. Ia boleh membakar abu, tetapi bukan rasa malu.
Rasul Paulus menulis, “Awaslah, jangan tertipu oleh orang yang menggunakan falsafah dan tipu daya yang sia-sia, menurut adat manusia, menurut ajaran asas dunia, bukan menurut Kristus” (Kolose 2:8). Dia mengingatkan pembacanya agar tidak mengganti Yesus dengan benda-benda yang kosong, dan dia menjelaskan sebabnya: Kristus ialah “gambaran Allah yang tidak kelihatan” (1:15), berdaulat atas seluruh ciptaan (1:16), sepenuhnya Allah dalam rupa manusia (2:9), dan kepala “segala perintah dan kuasa” (ayat 10). Oleh kematian dan kebangkitan-Nya, kita “berasas dan terbina dalam-Nya” (ayat 7), dan dihidupkan sepenuhnya serta diampuni oleh-Nya (ayat 13). Ritual manusia dan upacara budaya mungkin dapat mempesonakan orang ramai, tetapi hanya Yesus yang dapat membatalkan hutang dosa dan mematahkan cengkamannya untuk selama-lamanya.
Marilah kita menyerahkan beban kita kepada Kristus, bukan kepada ritual dan tradisi. Dialah satu-satunya yang membebaskan kita daripada tawanan dan memberi kita harapan.
dapat membebaskan aku.
ILHAM
Paulus menulis, “Sekarang Allah telah mendamaikan kamu dengan diri-Nya melalui kematian tubuh-Nya, supaya Dia dapat memperhadapkan kamu sebagai orang suci, yang tidak bercela dan tidak bersalah—jika kamu tetap beriman … tidak berganjak daripada harapan Injil yang kamu dengar” (Kolose 1:22-23). Dalam petikan ini, Paulus sedang menentang ajaran palsu—mungkin Gnostisisme (fahaman yang menyelewengkan ajaran tentang Kristus). Antara ajarannya ialah bahawa Kristus tidak mempunyai tubuh jasmani. Ajaran ini bertentangan dengan kebenaran Alkitab kerana menyangkal penyaliban dan kebangkitan Kristus. Paulus memberi amaran, “Awaslah, jangan tertipu oleh orang yang menggunakan falsafah dan tipu daya yang sia-sia” (2:8). Dia juga berkata, “Kamu dahulu mati kerana melakukan dosa” tetapi sekarang “Allah telah menghidupkan kamu bersama Tuhan” (ayat 13). Apabila kita menerima pengorbanan Yesus yang telah menebus kita daripada dosa, kita dibebaskan daripada beban dosa.
