Dalam satu ceramah TED (Technology Entertainment Design—sebuah platform yang orang dari seluruh dunia dapat berkongsi idea), Celeste Headlee berkongsi “10 Tip untuk Mempunyai Perbualan yang Lebih Baik.” Salah satunya mungkin kedengaran bertentangan dengan naluri: Untuk mempunyai perbualan yang baik, kita perlu mendengar. Biasanya, apabila orang lain bercakap, kita tidak benar-benar mendengar apa yang dicakap orang, sebaliknya kita memikirkan apa yang hendak kita cakap seterusnya. Headlee juga memetik kata-kata daripada penulis Steven Covey: “Kebanyakan kita tidak mendengar untuk memahami. Kita mendengar untuk membalas.”

Alkitab banyak mengajar tentang pentingnya untuk mendengar, terutamanya apabila berkaitan dengan Tuhan. Kitab Pengkhutbah menasihati dengan terus terang dan tegas: “Janganlah terburu-buru berkata-kata dengan mulutmu” (Pengkhutbah 5:2). Ia mengingatkan kita bahawa Tuhan jauh lebih tahu daripada kita, “kerana Allah [ada] di syurga”. Jadi kita adalah bijak apabila kita mendengar dan belajar daripada Tuhan. Ayat dalam Amsal 18:2 nampaknya menyokong idea Headlee dan Covey: “Orang bebal tidak suka diajar dan hanya ingin didengar” (Terjemahan Sederhana Indonesia).

Apakah maksudnya semua ini bagi kita? Apabila kita berdoa kepada Tuhan, kita sepatutnya meluangkan masa untuk benar-benar mendengar Tuhan, bukan hanya asyik menyebut semua masalah dan kebimbangan kita dalam senarai. Dalam perbualan dengan orang lain pula, kita mungkin akan terkejut bahawa hubungan kita menjadi lebih akrab dan mesra apabila kita benar-benar mendengar mereka, bukan sekadar memikirkan apa yang kita mahu katakan.