Seorang doktor yang bernama Harold Moody tidak pernah menolak pesakit, walaupun ada yang tidak mampu membayar dan walaupun dia sendiri pernah dipinggirkan oleh masyarakat. Sebenarnya dia mempunyai rekod cemerlang dalam pengajian perubatan, tetapi tiada hospital yang mahu mengupahnya kerana warna kulitnya. Jadi, pada tahun 1913, dia membuka klinik sendiri di rumahnya, dan sering merawat orang miskin secara percuma. Sepanjang hidupnya, doktor Harold Moody banyak membantu orang yang didiskriminasikan. Kerana usahanya itu, dia digelar “Martin Luther King di Britain.”

Dr. Moody menunjukkan bahawa hidup kita tidak perlu ditentukan oleh penolakan orang lain. Alkitab juga menunjukkan kebenaran ini melalui kisah Yefta. Walaupun Yefta ialah seorang pahlawan yang gagah, dia ditolak oleh saudara-saudara tirinya dan dihalau dari kampung mereka. Mereka berkata kepadanya, “Engkau tidak dapat mewarisi pusaka dalam rumah bapa kami kerana engkau anak lelaki daripada perempuan lain” (Hakim-Hakim 11:2). “Yefta pun lari meninggalkan para saudaranya itu lalu menetap di Tanah Tob” (ayat 3).

Walaupun keluarganya menolaknya, Tuhan tidak menolak Yefta. Apabila musuh menyerang Israel, Yefta yang diminta untuk membantu (ayat 4-6). Mereka berkata, “Marilah menjadi ketua kami semoga kita boleh berperang melawan bani Amon” (ayat 6). Tuhan memakai dan menolong Yefta menewaskan musuh mereka (ayat 29, 32-33), malah kemudian dia menjadi pemimpin Israel (Hakim-Hakim 12:7).

Apabila kita ditolak oleh orang lain, marilah kita terus percaya dan taat kepada Tuhan. Cara Tuhan memandang kita dan apa yang Dia ingin kita lakukan itulah yang paling penting.