Bapa mentua saya, Jim ialah seorang penembak dalam sebuah pesawat pengebom yang berkhidmat di Eropah semasa Perang Dunia Kedua. Pesawatnya telah ditembak jatuh dan dia ditawan, lalu menjadi tawanan perang selama beberapa bulan. Jim jarang sekali bercakap tentang pengalaman itu, tetapi mereka yang mengenalinya sebelum perang mengatakan bahawa dia dahulu seorang pemuda yang periang, sentiasa ceria dan tersenyum. Namun, pengalaman perang tersebut telah mengubahnya menjadi seorang yang murung dan suka menyendiri.

Saya cuba memahami pengalamannya, jadi saya membaca buku Masters of the Air (Penguasa Udara), yang menggambarkan peperangan udara di benua Eropah semasa Perang Dunia Kedua. Penjelasan oleh penulis buku ini, Donald L. Miller membantu saya memahami trauma fizikal dan psikologi yang dialami oleh para juruterbang dan anak kapal pesawat pengebom pada masa itu. Buku tersebut menolong saya semakin memahami penderitaan yang dialami oleh bapa mentua saya, dan belas kasihan saya semakin mendalam terhadapnya.

Penulis kitab Ibrani menulis tentang “Imam Besar agung” (4:14), iaitu Yesus Sendiri yang melakukan jauh lebih daripada sekadar memahami pergelutan kita. Dia hidup dalam kalangan kita dan belajar merasakan apa yang kita rasakan dalam setiap situasi. Kitab Ibrani mengatakan, “Imam Besar yang kita punya, bukanlah imam besar yang tidak dapat turut merasakan kelemahan-kelemahan kita, sebaliknya sama dengan kita, Ia telah dicobai, hanya tidak berbuat dosa” (ayat 15 TB). Fikirkanlah! Yesus mengetahui apa yang kita lalui. Dia sendiri telah mengalami pencubaan seperti yang kita alami.

Melalui Roh Kudus-Nya, semoga Tuhan memberi kita hati yang memahami dan sudi menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan penuh kasih dan belas kasihan.