Di perairan tasik New York, James membaling tali panjang yang diikatkan dengan sebuah magnet yang kuat. James yang dikenali sebagai “pemancing magnet” itu terkejut apabila dia dapat menarik keluar sebuah peti besi kotor, yang berisi timbunan wang seratus dolar yang berlumpur. Polis berkata James boleh menyimpan wang itu kerana wang tersebut tidak berkaitan dengan jenayah. Namun, sebahagian wang itu rosak teruk sehingga sukar dipastikan ketulenannya. Walaupun begitu, James berharap dia masih dapat menyelamatkan sebanyak mungkin wang itu, mungkin untuk membeli sebuah rumah.

Menjumpai harta karun yang tersembunyi memang sesuatu yang menggembirakan. Yesus pernah menceritakan satu perumpamaan tentang seorang lelaki yang menemui harta karun tersembunyi di sebuah ladang: “Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu, dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu” (Matius 13:44). Lelaki itu menyedari nilai harta karun yang dijumpainya dan sanggup menjual semua hartanya untuk membeli ladang itu.

Apabila kita merenungkan perumpamaan itu, sebanyak mana pun kekayaan atau harta benda tidak dapat menebus dosa yang telah kita lakukan. Hanya Yesus yang mampu membayar harga yang begitu besar untuk menebus manusia dan mendamaikan kita dengan Tuhan Bapa-Nya, iaitu melalui pengorbanan, kematian dan kebangkitan-Nya.

Khazanah duniawi mungkin kelihatan indah, namun semuanya boleh hilang, dicuri, atau dimusnahkan. Kita boleh dengan penuh syukur menerima pengorbanan Yesus yang agung bagi kita dan anugerah hidup kekal, dengan keyakinan bahawa hidup di syurga bersama-Nya ialah ganjaran kita yang paling mulia.