Di perairan tasik New York, James membaling tali panjang yang diikatkan dengan sebuah magnet yang kuat. James yang dikenali sebagai “pemancing magnet” itu terkejut apabila dia dapat menarik keluar sebuah peti besi kotor, yang berisi timbunan wang seratus dolar yang berlumpur. Polis berkata James boleh menyimpan wang itu kerana wang tersebut tidak berkaitan dengan jenayah. Namun, sebahagian wang itu rosak teruk sehingga sukar dipastikan ketulenannya. Walaupun begitu, James berharap dia masih dapat menyelamatkan sebanyak mungkin wang itu, mungkin untuk membeli sebuah rumah.
Menjumpai harta karun yang tersembunyi memang sesuatu yang menggembirakan. Yesus pernah menceritakan satu perumpamaan tentang seorang lelaki yang menemui harta karun tersembunyi di sebuah ladang: “Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu, dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu” (Matius 13:44). Lelaki itu menyedari nilai harta karun yang dijumpainya dan sanggup menjual semua hartanya untuk membeli ladang itu.
Apabila kita merenungkan perumpamaan itu, sebanyak mana pun kekayaan atau harta benda tidak dapat menebus dosa yang telah kita lakukan. Hanya Yesus yang mampu membayar harga yang begitu besar untuk menebus manusia dan mendamaikan kita dengan Tuhan Bapa-Nya, iaitu melalui pengorbanan, kematian dan kebangkitan-Nya.
Khazanah duniawi mungkin kelihatan indah, namun semuanya boleh hilang, dicuri, atau dimusnahkan. Kita boleh dengan penuh syukur menerima pengorbanan Yesus yang agung bagi kita dan anugerah hidup kekal, dengan keyakinan bahawa hidup di syurga bersama-Nya ialah ganjaran kita yang paling mulia.
sehingga anda sudi meninggalkan hidup lama demi hidup kekal bersama-Nya?
ILHAM
Dua perumpamaan dalam Matius 13:44-46 disampaikan di antara beberapa perumpamaan tentang kerajaan syurga (ayat 1-52). Selepas Yesus menceritakan perumpamaan pertama tentang seorang penabur (ayat 3-9), para murid-Nya bertanya mengapa Dia sering menggunakan perumpamaan (ayat 10). Jawapan-Nya sangat bermakna: “Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan syurga, tetapi mereka tidak” (ayat 11). Yesus berkata kepada para murid-Nya, “Diberkatilah matamu kerana melihat, dan telingamu, kerana mendengar” (ayat 16). Kemudian, Dia menjelaskan perumpamaan tersebut (ayat 18-23). Para murid ingin mengetahui maksud sebenar tentang kata-kata Kristus, dan keinginan mereka itu mendapat ganjaran. Mereka telah meninggalkan segala-galanya untuk mengikut Dia. Pada hakikatnya, mereka sedang menjalani kehidupan yang digambarkan dalam perumpamaan tentang harta yang tersembunyi dan mutiara yang berharga (ayat 44-46). Mereka telah menemukan harta yang sejati kerana mereka menerima berita baik dengan hati yang terbuka. Apabila kita meletakkan iman kita kepada Yesus, kita menerima pemberian percuma berupa kehidupan kekal bersama-Nya—harta sejati dari syurga.
