Ini adalah salah satu video yang sukar dipercayai dan cenderung membuat anda ingin menontonnya berulang kali. Video tersebut adalah mengenai sekumpulan nelayan di Yaman tergesa-gesa untuk menyelamatkan ratusan ekor domba dari Laut Merah. Sebuah kapal yang membawa ribuan ekor domba itu terbalik ketika sedang belayar ke Djibouti sehingga terkandas di luar pantai Ras Al-Ara, Yaman, akibatnya lebih daripada 160 ekor domba lemas. Namun begitu, masih ada banyak domba yang berjaya diselamatkan sebab usaha bersama daripada sekumpulan nelayan, yang pada ketika itu boleh dikatakan sedang “memancing” domba dari laut.

Kata-kata Yesaya terlintas dalam fikiran saya ketika pertama kali menonton video itu: “Kita semua tersesat seperti domba” (53:6). Pada masa yang sama, mungkin kerana Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru saling berkaitan dengan begitu indah, saya teringat akan jemputan Yesus kepada murid-murid-Nya yang pertama. Kitab Matius mencatatkan jemputan-Nya ketika Dia berjalan di tepi Tasik Galilea: “‘Mari, ikutlah Aku, dan kamu akan Kujadikan penjala manusia’” (4:19).

Bagi kita yang ingin menjadi murid Yesus hari ini, jemputan yang sama ditawarkan. Yesus memanggil kita untuk menjala manusia. Mengapa? Ini kerana setiap kita adalah seperti domba yang telah menyimpang dari jalan, kehendak dan firman Tuhan. Kita memerlukan penyelamatan. Apabila saya dan anda menjadi murid-Nya, kita boleh membimbing orang lain untuk mengenal Penyelamat. Dengan cara-Nya yang indah, Yesus menjadikan kita bukan sahaja sebagai domba-Nya, tetapi juga sebagai penjala domba yang membawa orang lain kembali kepada-Nya.