Saya tidak menyukai Sadie. Rakan sekerja saya itu sering bersikap kasar terhadap saya, jadi saya cuba mengelakkannya. Oleh itu, apabila dia mendengar tentang pertemuan penginjilan di gereja saya dan bertanya sama ada dia boleh ikut bersama, saya tidak begitu ambil peduli. “Tengoklah nanti,” saya menggumam.

Hari-hari berlalu, dan topik itu seolah-olah dilupakan. Namun Tuhan tidak melupakannya. Saya dapat merasakan dorongan-Nya, seolah-olah Dia menanti saya untuk menghulurkan tangan dan menunjukkan kebaikan kepada Sadie. Pada suatu hari, ketika saya sedang berdoa, satu soalan terlintas di fikiran saya: Adakah respons anda terhadap Sadie itu benar dan menyenangkan hati Tuhan?

Alamak! Soalan itu mengingatkan saya tentang soalan yang Tuhan bertanya kepada nabi Yunus selepas penduduk Niniwe bertaubat: ”Patutkah engkau marah?” (Yunus 4:4). Yunus telah memberi amaran kepada orang Niniwe tentang penghakiman Tuhan atas dosa mereka (3:1-4). Namun, anehnya, apabila mereka bertaubat dan Tuhan “tidak mendatangkan malapetaka seperti yang dirancangkan-Nya terhadap mereka” (ayat 10), Yunus “amat tidak senang hati lantas dia menjadi marah” (4:1). Dia beranggapan bahawa musuh Israel (orang Niniwe) yang kejam itu telah terlepas dengan begitu sahaja dan sepatutnya dihukum (ayat 1-3).

Tetapi Tuhan membetulkan Yunus dengan menunjukkan kekurangan belas kasihannya terhadap orang Niniwe, yang tidak memahami kebenaran rohani sepenuhnya (ayat 5-11). Tuhan, “pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih” (ayat 2), mengambil berat tentang kesejahteraan semua orang, tanpa mengira apa yang telah dilakukan mereka. Marilah kita juga menghulurkan belas kasihan Tuhan kepada orang lain. Dengan demikian mereka juga dapat mengenal serta mengasihi Tuhan.