Pada penghujung musim luruh, saya dan isteri merancang untuk makan angin. Sehari sebelum kami bertolak, salji mula turun, dan saya tiba-tiba menyedari bahawa saya belum membawa kereta ke kedai tayar untuk memasang tayar salji. Keadaan salji yang semakin buruk menyebabkan barisan kereta yang panjang di kedai tayar―sesuatu yang sebenarnya saya boleh elakkan dengan perancangan yang lebih baik.

Bukankah kita perlu bersiap sedia dalam kebanyakan aspek kehidupan? Adalah penting bagi kita untuk berfikir ke hadapan, bersedia menghadapi kemungkinan yang berlaku, dan memastikan kita membuat perancangan yang baik.

Perkara ini juga berkaitan dengan kehidupan rohani kita. Dalam Matius 24, Yesus menekankan keperluan untuk sentiasa bersedia bagi kedatangan-Nya. Dia berkata kepada para pendengar-Nya bahawa mereka “hendaklah sentiasa bersedia” kerana Dia akan datang kembali (ayat 44). Petrus kemudian menulis bahawa orang percaya perlu mempersiapkan diri, baik secara pemikiran mahupun rohani untuk “sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hati [mereka]” (1 Petrus 3:15).

Hidup kita seharusnya sentiasa bersedia. Pertama, kita perlu memastikan bahawa kita telah bersedia untuk kedatangan Yesus dengan menaruh iman kepada-Nya. Seterusnya, kita dipanggil untuk sentiasa bersedia melayani-Nya, walaupun itu bermakna kita harus “menderita kerana melakukan kebaikan” (ayat 17). Dengan pertolongan-Nya, marilah kita terus bersiap sedia.