Dunia menyaksikan berita itu dengan penuh rasa ngeri apabila sebuah helikopter persiaran yang terbang di atas sebuah sungai berkecai di udara. Apabila kipas utama dan bahagian ekornya putus, kabin helikopter itu terjunam ke dalam sungai, bersama juruterbang dan lima anggota yang terperangkap di dalamnya. Beberapa hari selepas tragedi yang meragut nyawa adik perempuannya, abang iparnya, anak saudara perempuan serta dua anak saudara lelakinya, si abang hadir di lokasi kejadian untuk mengenang dan menghormati orang tersayangnya. “Mereka pergi bersama-sama,” katanya.

Hidup boleh berubah dalam sekelip mata, meninggalkan kesedihan yang sukar difahami. Ayub juga mengalami kehilangan yang amat besar. Suatu hari, para pesuruh memberitahu Ayub bahawa hamba-hambanya telah dibunuh, dan ternakannya dicuri dan mati (Ayub 1:13-17). Kemudian, Ayub menerima berita yang lebih dahsyat lagi. Semasa tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuannya berkumpul, angin kencang telah melanda rumah mereka sehingga runtuh dan membunuh mereka (ayat 18-19). “Maka berdirilah Ayub. Dia segera mengoyakkan jubahnya, dan mencukur rambut kepalanya lalu bersujud di tanah dan menyembah” (ayat 20). Dalam kesedihan, Ayub berkata, “TUHAN yang memberikan; TUHAN yang mengambil, segala puji bagi nama TUHAN!” (ayat 21).

Ayub tidak memahami sebab penderitaannya, tetapi walaupun dalam keadaan yang paling susah, dia tetap menyembah Tuhan. Tuhan kemudian mengingatkan Ayub tentang kebijaksanaan dan kuasa-Nya, serta rancangan-Nya yang berdaulat (Ayub 38-42).

Walaupun kita mungkin tidak faham mengapa tragedi berlaku, kita boleh membawa kesakitan dan kesedihan kita kepada Tuhan, yang menghiburkan dan menguatkan kita.