Bolehkah anda bayangkan berlari sepantas mungkin … tanpa dapat melihat?
Itulah yang berlaku dalam acara larian berpandu di Paralimpik. Pelari buta akan bertanding bersama seorang pemandu (guide runner), yang berlari di sebelah mereka langkah demi langkah, sambil dihubungkan dengan tali pendek di tangan. Pelari dari Amerika Syarikat, David Brown, merupakan antara pelari Paralimpik buta terpantas di dunia dan pernah memenangi pingat emas dalam acara lari pecut 100 meter dengan catatan bawah 11 saat. Jerome Avery pula menjadi pemandunya sepanjang sebahagian besar kerjayanya. Inilah huraian Brown tentang hubungan mereka: “Kami seperti seorang individu.” Avery bersetuju, “Ia sepatutnya kelihatan seperti seorang sahaja yang sedang berlari,” katanya.
Betapa indahnya gambaran tentang bimbingan Roh Kudus yang ibarat pemandu dalam larian Paralimpik tersebut. Walaupun kita sedang berusaha bersungguh-sungguh dalam hidup, Roh Kudus tetap berjalan seiring dengan kita—mengarahkan setiap langkah dan pergerakan kita, serta membimbing kita dalam kehidupan supaya tidak tersasar arah.
Dalam Galatia 5, Paulus menggambarkan bagaimana kita dapat mengatasi pergelutan ketika melawan dosa: hidup kita harus selaras dan seiring dengan pekerjaan Roh dalam diri kita. Dia menulis, “melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan keinginan sifat tabii” (ayat 16). Dia menambah, “Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga” (ayat 25). Menurut Paulus, hal itu akan membolehkan kita mengatasi “kelakuan tabii” (ayat 19) supaya kita dapat berbuah secara rohani (ayat 22-23).
Ayuh, marilah kita berjalan bahkan berlari seiring dengan Roh Kudus.
Apabila anda “berbuat segalanya dalam Roh”, apakah pengaruhnya terhadap keadaan hidup anda?
berjalan seiring dengan-Mu.
ILHAM
Paulus banyak mengajar kita tentang peranan Roh Kudus dalam kehidupan orang yang percaya kepada Yesus. Pada saat seseorang percaya kepada Kristus melalui iman, dia menerima Roh Kudus (Galatia 3:2, 14). Tuhan mengutus Roh Kudus untuk tinggal di dalam hati kita, yang disebut sebagai “Roh Anak-Nya” (ayat 4:6). Tuhan mengangkat kita sebagai anak-anak-Nya dan memberi kita kuasa untuk memanggil Dia “Abba, Bapa” (ayat 6). Rasul Paulus memberi amaran bahawa sifat semula jadi kita yang berdosa cenderung menentang Roh Kudus yang tinggal di dalam diri kita (ayat 5:17). Kunci untuk mengatasinya ialah menjalani kehidupan dalam kuasa Roh Kudus. Apabila kita dipimpin oleh-Nya dan hidup menurut pimpinan-Nya, Dia menolong kita mengatasi sifat berdosa dan hidup dalam hubungan yang benar dengan Tuhan (ayat 5, 16, 18, 25). Kehidupan yang dipimpin oleh Roh Kudus akan menyenangkan hati Tuhan kerana menghasilkan “buah Roh” (ayat 22).
