Lillie Cunningham berumur 110 tahun, namun dia tidak bergantung pada tongkat atau alat bantuan berjalan. Bagaimanapun, dia bergantung pada Alkitab, yang dibacanya setiap pagi dan malam, serta menghadiri gereja setiap hari Ahad. Apabila dia mengenang kehidupannya, dia berkata, “Saya sentiasa beriman dan percaya kepada Tuhan bahawa Dia pasti menopang kita melalui segala kesusahan.”
Lillie Cunningham sangat mempercayai Tuhan dan memuji-Nya kerana Dia telah menolongnya menempuhi pelbagai kesusahan hidup, termasuk peperangan, pandemik, dan kematian suami serta adik-beradiknya. Kehidupannya menyerupai kehidupan pemazmur yang mengisytiharkan “kasih [Tuhan] sewaktu pagi dan kesetiaan-[Nya] setiap malam” (Mazmur 92:1-2); dan ketabahannya pula merujuk kepada kata-kata pemazmur: “Orang yang benar akan subur seperti pokok palma … ditanam di rumah TUHAN … Mereka akan tetap berbuah pada usia tua, mereka akan tetap segar dan subur” (ayat 12-14). Seperti pemazmur, Tuhan merupakan segala sumber hidupnya (ayat 15).
Kita boleh belajar banyak daripada teladan wanita berusia seratus tahun ini. Seperti Lillie, semoga kita menjalani kehidupan kita dalam persekutuan dengan Tuhan dan memuji Tuhan dengan meluangkan masa untuk berdoa, membaca Alkitab, dan beribadat “di rumah TUHAN” (ayat 13). Kita tidak dijanjikan umur panjang di bumi, tetapi melalui-Nya, kita boleh tetap “segar dan subur” (ayat 14) sementara Tuhan mempersiapkan diri kita untuk menjalani kehidupan abadi bersama-Nya.
ILHAM
Catatan di bahagian atas Mazmur 92 berbunyi, “untuk hari Sabat.” Mazmur ini merupakan satu-satunya mazmur yang ditulis khusus untuk hari Sabat, dan nadanya dipenuhi ucapan ucapan syukur serta pujian. “Aku akan berbangga dengan hasil kerja tangan-Mu”, tulis pemazmur (ayat 4). Ini merujuk kepada penciptaan, selepas Tuhan “beristirahat daripada segala pekerjaan” (Kejadian 2:2). Mazmur ini juga mengetengahkan tema yang sering digunakan oleh para penyair dalam Alkitab—“Orang yang benar akan subur seperti pokok palma” (Mazmur 92:12). Ini mengingatkan kita kepada Mazmur 1, yang menyamakan orang yang “bersukacita dengan hukum TUHAN” (ayat 2) kepada “pohon yang ditanam di tepi perairan” (ayat 3). Mazmur 1 menyatakan bahawa ”TUHAN menaungi jalan orang benar” (ayat 6). Mazmur 92 pula mengakui bahawa Tuhan Sendiri sebagai sumber kebenaran itu, kerana “orang yang benar” (ayat 12) mengisytiharkan, “TUHAN adalah tulus; Dia Batu Pejalku” (ayat 15). Dalam kegembiraan dan kesukaran yang kita lalui, kita boleh terus memuji Tuhan kerana kita tahu bahawa Dia mengambil berat tentang kita.
