Di sebuah universiti yang besar, seorang pelukis bernama Moore telah melukis sepuluh potret yang menakjubkan—wajah lelaki dan wanita yang selama ini telah memastikan universiti itu terus beroperasi. Mereka ialah pekerja penyelenggaraan, khidmat sajian, penjaga kawasan dan pengawal keselamatan. Moore berkata dia ingin melukis mereka “dalam kedudukan yang berkuasa.” Maka itulah yang dilakukannya. Dia memberikan penghormatan dan martabat kepada orang-orang yang perkhidmatannya sering tidak didendang tetapi amat bernilai. Salah seorang pemimpin universiti berkata, potret-potret tersebut juga membantu menyembuhkan luka lama akibat perpecahan kaum yang telah lama wujud di kampus tersebut.
Begitulah cerminan hati Tuhan. Ketika ahli-ahli gereja di Korintus merenungkan janji-janji Tuhan, rasul Paulus mendorong mereka: “Bersungguh-sungguhlah dalam pengabdianmu kepada Tuhan” (1 Korintus 15:58). Oleh sebab kemenangan Yesus melalui kematian dan kebangkitan-Nya (ayat 57), segala yang dilakukan oleh mereka untuk-Nya—baik yang besar mahupun yang kecil, yang kelihatan atau tersembunyi—tidak pernah sia-sia. Jika mereka berasa ragu atau putus asa kerana tidak melihat hasil dengan segera, Paulus mahu mereka mempunyai perspektif syurgawi—yang meneguhkan iman, menjadikan mereka tidak goyah, dan mendorong mereka untuk terus berbuat baik. Mereka diingatkan bahawa mereka membawa imej Yesus (ayat 49), dan setiap pekerjaan yang dilakukan untuk-Nya sangat bermakna.
Walaupun pelayanan kita kelihatan kecil atau tidak diperhatikan, kita boleh tetap berbesar hati. Tuhan melihat setiap usaha kita dan menyertai kita dalam pekerjaan yang kita lakukan untuk-Nya. Kesetiaan seseorang dalam tugasnya mungkin tidak menjadi perhatian manusia, tetapi ia sentiasa berharga di mata Tuhan.
untuk-Mu dengan sepenuh hati.
ILHAM
Dalam 1 Korintus 15:58, rasul Paulus mengingatkan kita bahawa tiada apa pun yang kita lakukan untuk Tuhan akan menjadi sia-sia. Alkitab memberikan beberapa contoh tentang orang yang memberikan apa yang dimiliki mereka kepada Tuhan. Seorang balu yang miskin memberikan makanan terakhirnya yang sedikit kepada Elia—“segenggam penuh tepung di dalam tempayan dan sedikit minyak dalam buyung” (1 Raja-Raja 17:12). Seorang budak lelaki pula menawarkan “lima buku roti barli dan dua ekor ikan” untuk memberi makan kepada lima ribu orang (Yohanes 6:9). Yesus memuji seorang balu miskin yang memberikan dua keping syiling tembaga (syiling yang paling kecil nilainya pada masa itu) sebagai persembahannya kepada Yuhan. Namun, persembahannya dianggap sangat bernilai kerana dia telah memberikan segala yang dimilikinya (Lukas 21:1-4). Tuhan tidak mengukur besar atau kecilnya pemberian, tetapi melihat hati si pemberi yang sanggup berkorban. Kita melayani-Nya dengan kemampuan yang berbeza, dan mungkin ada kalanya kita berasa seolah-olah tiada siapa yang tahu apa yang kita lakukan. Namun, kita boleh yakin bahawa Tuhan melihat/tahu segala yang dilakukan untuk-Nya.
