Ketika Alkitab yang disimpan oleh Matt Williams di bahagian belakang keretanya dicuri, dia takut bahawa dia tidak akan melihatnya lagi. Dia juga risau bahawa gambar-gambar berharga yang disimpannya di dalam sarung Alkitab itu akan hilang. Jadi, dia menaikkan doa singkat: “Ya Tuhan, aku sangat sedih. Alkitab itu ada banyak benda yang sangat bermakna bagiku, dan aku mohon untuk dapatkannya kembali. Tetapi bukan menurut kehendak saya, melainkan kehendak-Mu, seperti yang Engkau selalu katakan.” Hanya beberapa hari kemudian, Williams terkejut apabila mengetahui melalui media sosial bahawa Alkitabnya ditemui di dalam sebuah kereta curi. Alkitabnya diletakkan di sebelah satu lagi Alkitab milik pemilik asal kereta itu, di tempat duduk penumpang. Walaupun kelihatan mustahil untuk mendapatkan kembali barang kesayangannya, Tuhan menjawab doanya.

Dalam 2 Raja-Raja 6:1-7, kita membaca tentang nabi Elisa yang menghadapi situasi yang kelihatan mustahil. Dia dan sekumpulan nabi berada di Sungai Yordan untuk mendapatkan kayu bagi membina tempat pertemuan yang lebih besar. Ketika salah seorang nabi menebang pokok, tiba-tiba “jatuhlah mata kapaknya ke dalam air.” Oleh itu dia berseru kepada Elisa, “Aduh, tuanku! Itu barang pinjaman!” (ayat 5). Nabi yang cemas itu menunjukkan kepada nabi Elisa tempat kapak itu jatuh. “Lalu Elisa mengerat sepotong kayu dan mencampakkannya ke sana. Maka terapunglah mata kapak itu” (ayat 6). Dengan kuasa Tuhan yang luar biasa, nabi itu mendapat kembali kapak itu yang berharga.

Tiada hal atau kebimbangan yang terlalu kecil untuk dibawa kepada Tuhan dalam doa. Kita boleh berdoa dan memohon pertolongan Tuhan dalam apa-apa keadaan, dan Dia boleh menjawab doa kita dengan cara yang tidak dijangka.