Jiran Paul yang juga rakan segerejanya, Owen, telah menyebarkan khabar angin yang berniat jahat tentang dirinya. Oleh sebab berasa buntu dan tidak berdaya, Paul berdoa, “Tuhan, aku menyerahkan masalah ini ke dalam tangan-Mu. Biarlah Owen menyedari kesilapan yang telah dilakukannya.” Paul menyangka Tuhan mungkin akan menggerakkan pastor mereka untuk menegur Owen, atau menginsafkannya melalui sesi pembelajaran Alkitab. Namun, Tuhan menggunakan cara yang berbeza—melalui sebatang paip air yang pecah.

Tepat pada waktu tengah malam, tiba-tiba pintu rumah Paul diketuk bertalu-talu dengan penuh cemas.“Tolong, tolong!” seru Owen dalam ketakutan. “Air rumah saya tidak berhenti mengalir walaupun injap utama sudah ditutup!” Kebetulan Paul seorang tukang paip, dia menghabiskan masa yang cukup lama untuk membaiki paip di bilik mandi Owen yang sudah pun dibanjiri air. Tidak lama selepas insiden tersebut, Owen dengan penuh rasa kesal datang meminta maaf kepada Paul.

Pertolongan Tuhan sentiasa datang dengan cara yang kreatif dan tidak dijangka. Alkitab mengatakan bahawa “Tertakluklah orang Israel selama lapan belas tahun di bawah pemerintahan Eglon, raja Moab” (Hakim-Hakim 3:14), mereka “berseru meminta pertolongan TUHAN lalu TUHAN membangkitkan bagi mereka seorang penyelamat—Ehud” (ayat 15). Ehud, seorang yang kidal (mahir menggunakan tangan kiri), telah mengikat sebilah pedang pada paha kanannya—iaitu kedudukan yang tidak akan diperiksa oleh pengawal kerana pahlawan biasa (yang menggunakan tangan kanan) tidak akan menyembunyikan senjata di situ (ayat 15-16). Dengan menggunakan kelebihan taktikal ini, Ehud berjaya menumbangkan Eglon dengan menggunakan pedang—bukan di medan perang yang terbuka, melainkan dalam satu pertemuan tertutup di istana (ayat 19-21).

Rentetan daripada peristiwa itu, Israel menikmati keamanan selama lapan puluh tahun di bawah kepimpinan Ehud (ayat 30), iaitu tempoh kebebasan yang paling lama dalam zaman pemerintahan hakim-hakim. Kisah Ehud mengingatkan kita bahawa Tuhan, melalui hikmat dan kedaulatan-Nya, bekerja dengan cara yang jauh melampaui apa yang boleh kita jangka atau bayangkan. Dia sememangnya Tuhan kita yang Maha Kreatif.