Alunan muzik “Ave Maria”, iaitu karya Schubert, tiba-tiba dimainkan secara langsung di sebuah lokasi yang tidak disangka-sangka. Sebuah klinik vaksinasi kecil di Berkshire, Massachusetts, Amerika, bertukar menjadi dewan konsert apabila seorang pemain selo yang terkenal di peringkat antarabangsa, Yo-Yo Ma, mengadakan persembahan secara spontan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19. Dia sekadar ingin berkongsi muzik yang membawa ketenangan kepada jiwanya.

Kita mempunyai banyak contoh dalam Alkitab yang mengingatkan kita tentang betapa berkuasanya muzik ketika kita menghadapi waktu cemas dan kesakitan. Dalam 1 Samuel 16, kita diberitahu bahawa muzik yang dimainkan oleh Daud berjaya menenangkan Raja Saul. Manakala dalam kitab Kisah Para Rasul, kita dapat membaca kisah tentang Paulus dan Silas. Mereka telah ditangkap, dipukul, dan “dimasukkan ke dalam penjara” (Kisah Para Rasul 16:23) kerana menyebarkan Berita Baik tentang Yesus. Namun, ketika mereka duduk dalam sel yang gelap sambil menanggung kesakitan akibat diseksa, Paulus dan Silas sebaliknya “berdoa dan memuji Allah” (ayat 25). Yang menariknya, Alkitab mencatatkan bahawa banduan-banduan lain turut mendengar nyanyian mereka!

Ketika mereka berdoa dan bernyanyi, damai sejahtera Tuhan turun menguasai keadaan tersebut. Kesannya, kuasa-Nya dinyatakan dengan cara yang luar biasa (ayat 26), sehingga pengawal penjara sendiri merayu untuk mengetahui apa yang harus dilakukannya “supaya diselamatkan” (ayat 30).

Apabila kita menyerahkan segala ketakutan kita kepada Tuhan melalui doa dan pujian, kita sedang mengundang kedamaian-Nya masuk ke dalam hidup kita—kedamaian yang juga mampu menyentuh dan mempengaruhi orang di sekeliling kita.