Dunia astrologi kini sedang berkembang pesat. Setiap bulan, jutaan manusia—terutamanya generasi muda—melayari laman web horoskop. Ramai orang sering bergurau tentang fenomena Mercury retrograde (Utarid songsang), membandingkan zodiak masing-masing dengan watak haiwan atau filem, serta membaca ramalan harian secara santai seperti membaca laporan cuaca. Mereka berharap agar susunan bintang di langit mampu menjelaskan kekusutan hidup atau meramal masa depan mereka. Namun, apabila kita mendongak ke langit untuk mencari jawapan, kita sebenarnya telah melupakan Tuhan kita yang menciptakan dan menempatkan setiap bintang pada kedudukannya.
Dalam Ulangan 4:19, Musa memperingatkan bangsa Israel agar tidak melayangkan pandangan ke langit lalu tergoda untuk menyembah “matahari, bulan dan bintang.” Peringatan ini diberikan ketika Tuhan memperbaharui hubungan perjanjian yang istimewa dengan umat-Nya (ayat 23). Mereka telah pun mendengar suara-Nya di Gunung Sinai (ayat 12), menerima “kanun dan peraturan [Nya]” (ayat 14), dan bakal memasuki tanah perjanjian (rujuk fasal 31). Tuhan mengingatkan mereka bahawa benda-benda langit itu diciptakan sekadar untuk menghiasi cakerawala supaya dinikmati oleh semua bangsa, bukannya untuk disembah. Umat-Nya tidak sepatutnya mengagumi ciptaan melebihi Sang Pencipta. Alkitab menyatakan hal ini dengan sangat jelas. Penyembahan berhala hanya memperhambakan diri kita. Hanya Tuhan—bukannya buruj atau konstelasi bintang—yang berkuasa mendedahkan kebenaran serta mencorakkan sejarah.
Daripada taksub mencari horoskop seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang, marilah kita bersungguh-sungguh “mencari hadirat TUHAN, Allah [kita]” (ayat 29). Hanya Dia yang memberikan hikmat, bimbingan, dan keselamatan sejati yang kita dambakan.
Sang Pencipta segala galaksi.
ILHAM
Kitab Ulangan (yang bermaksud “hukum yang kedua”) merupakan kitab terakhir daripada lima kitab Musa, yang juga dikenali sebagai Pentateukh atau Taurat. Kitab ini berlatar pada penghujung perjalanan bangsa Israel selama empat puluh tahun di padang gurun (Ulangan 1:3; lihat juga Bilangan 14:33-34; 32:13; Yosua 5:6). Ketika bangsa Israel bersiap untuk memasuki Tanah Perjanjian, Musa mengulangi dan menjelaskan hukum Tuhan kepada mereka sebagai peringatan tentang perjanjian mereka dengan Yahweh. Hukum ini telah diberikan kira-kira empat puluh tahun sebelumnya di Gunung Sinai. Namun, hukum tersebut kini perlu diterima dan dihayati oleh generasi baharu, kerana generasi sebelumnya telah mati di padang gurun. Musa memberi amaran kepada bangsa Israel supaya tidak terlibat dalam penyembahan berhala (Ulangan 4:15-20), khususnya menyembah ciptaan dan bukannya Pencipta (ayat 19). Setelah mengingatkan umat itu tentang hukum Tuhan, Musa melantik Yosua sebagai pemimpin baharu bangsa Israel (Ulangan 31:23). Kemudian, Musa pergi ke Gunung Nebo (Ulangan 32:48-50), iaitu tempat yang dia meninggal dunia (Ulangan 34:5). Sebagaimana Musa mengingatkan bangsa Israel supaya hanya menyembah Pencipta mereka, kita juga harus menyembah Tuhan sahaja. Dialah sumber segala hikmat, petunjuk dan kehidupan kita.
