Organ paip Midmer-Losh yang terletak di Boardwalk Hall, Atlantic City, dianggap sebagai alat muzik terbesar dan paling kuat bunyinya yang pernah dibina. Dengan lebih daripada 33,000 batang paip, ia mampu menghasilkan bunyi yang setara dengan kira-kira dua belas buah orkestra. Organ ini merupakan salah sebuah daripada dua organ di dunia yang dilengkapi dengan 64 pedal (diaphone), kira-kira sepanjang 20 meter dan berfungsi untuk menghasilkan bunyi bes yang amat kuat dan mendalam, sehingga hampir tidak kedengaran oleh telinga manusia. Apabila organ ini dimainkan, para pendengar menggambarkan bahawa mereka dapat merasakan getarannya di dada mereka, seolah-olah sebuah helikopter sedang terbang tepat di atas kepala.

Namun, bunyi organ yang mengagumkan itu hanyalah penunjuk kecil kepada bunyi yang paling agung yang dapat kita bayangkan, iaitu suara Tuhan. Di dalam kitab Ayub, suara Tuhan berkali-kali digambarkan sebagai sesuatu yang menakjubkan sekali gus menggentarkan. Sahabat Ayub, Elihu, membandingkan suara-Nya dengan deruan ribut yang dahsyat, disertai dengan kilat sabung-menyabung dan guntur yang bergemuruh (Ayub 37:3-4). “[Allah] bergemuruh dengan suara-Nya yang agung,” kata Elihu. “Dilakukan-Nya hal-hal besar yang tidak tercapai oleh pengetahuan kita” (ayat 5). Bunyi yang penuh kuasa itu mencerminkan kebesaran dan keagungan Tuhan. Dia jauh lebih besar dan lebih mulia daripada apa yang mampu kita fahami!

Kita mungkin tidak akan pernah mendengar suara Tuhan secara fizikal seperti mendengar suara manusia sepanjang hidup ini. Namun, kita dapat membaca kebenaran-Nya yang penuh kuasa dalam halaman-halaman Alkitab dan melihatnya dinyatakan melalui kehidupan Yesus, Firman yang hidup. “Suara” itu mampu mengubah hidup kita jika kita bersedia untuk mendengarnya dan mentaatinya.