Dalam satu lawatan dari Amerika Syarikat ke Afrika Selatan—hampir 16,000 kilometer jauhnya—bersama-sama satu kumpulan yang terdiri lebih daripada 250 orang ahli gereja, keluarga, dan rakan-rakan, satu arahan yang bijak kedengaran. Para pelawat di dalam bas berasa cemas, merungut, dan tidak sabar sehingga seorang pemimpin berseru, “Jagalah hatimu!” Ahli-ahli gereja itu tahu apa yang dimaksudkannya, lalu mereka segera menjadi lebih tenang dan senyap.

Seruan tersebut bukanlah untuk menyuruh mereka berdiam; kata-kata itu sebenarnya dipetik daripada kitab Amsal, iaitu ketika Salomo berkongsi hikmat yang praktikal dengan anaknya. Pesanan itu merupakan satu peringatan untuk melindungi apa yang ada di dalam hati kita dan mengelakkan gangguan, perselisihan, serta ketidaksabaran daripada memasuki jiwa kita. “Jagalah hatimu lebih daripada segalanya,” tulis Salomo, “kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan” (4:23).

Kitab Amsal mengingatkan kita tentang cara untuk hidup dalam damai sejahtera dan sukacita—dengan menumpukan perhatian kepada Tuhan dan “ingatlah Dia” dalam segala laku kita (3:6). Apabila kita menjaga hati, kita akan sentiasa memerhatikan apa yang kita katakan dan apa yang kita renungkan. Arahan untuk “jauhkanlah bibir mungkar daripadamu” (4:24) dan “hendaklah matamu memandang ke hadapan” (ayat 25) akan menegur kita semula apabila kita ingin merungut, mengumpat, bahkan mengalihkan pandangan daripada Tuhan. Betapa hebatnya peringatan ini untuk kita sentiasa bergantung pada Tuhan dan memastikan apa yang masuk ke dalam hati kita adalah suci—kerana segala yang kita lakukan terpancar dari hati kita (ayat 23).