Di sebalik kengerian Perang Dunia Kedua, sebuah kampung kecil di Perancis bernama Le Chambon-sur-Lignon telah menjadi sinar harapan yang unik. Di bawah pimpinan pastor André Trocmé dan isterinya, Magda, penduduk kampung tersebut telah bersatu hati untuk menyelamatkan ribuan pelarian Yahudi. Walaupun mereka menghadapi risiko besar, mereka tetap menawarkan makanan, tempat perlindungan, dan surat identifikasi yang palsu—semata-mata kerana mereka percaya bahawa itulah tindakan yang betul untuk dilakukan. Pastor Trocmé berkata, “Kami tidak tahu apa itu orang Yahudi. Kami hanya tahu mereka ialah manusia.” Kata-kata Trocmé menolak rejim Nazi yang mengkategorikan manusia kepada beberapa kumpulan yang berbeza—atau kurang bernilai—daripada yang lain. Dia menegaskan bahawa semua orang pada dasarnya ialah manusia, yang layak dikasihi dan dilindungi.

Kata-kata Pastor Trocme mencerminkan isi hati Tuhan dalam Imamat 19:34, yang memerintahkan agar umat-Nya memperlakukan orang asing “sebagai warga asal sepertimu.” Sering kali manusia mudah terjatuh ke dalam godaan, menganggap kumpulan manusia lain yang berbeza sebagai satu ancaman. Namun, Tuhan memanggil umat-Nya untuk mempunyai empati dengan mengingati kembali layanan buruk yang pernah dialami mereka sendiri ketika menjadi “pendatang di Tanah Mesir” (ayat 34).

Apabila kita beranggapan bahawa orang lain pada dasarnya berbeza daripada diri kita, kita akan lebih mudah untuk mengabaikan penderitaan mereka. Sebaliknya, apabila kita mentaati perintah Tuhan untuk mengasihi sesama manusia seperti diri kita sendiri (Markus 12:31), Dia akan mengurniakan keberanian kepada kita untuk mempertahankan mereka yang lemah, tidak kira apa jua risikonya.