Semasa bilionair Rob Hale beredar dari podium, 1,200 graduan Universiti Massachusetts Dartmouth Amerika Syarikat bersedia untuk berbaris menerima diploma mereka. Namun, kemudian Hale kembali ke hadapan pentas sambil membawa dua buah beg besar berisi wang tunai berjumlah USD1.2 juta. Dia memberitahu para graduan bahawa setiap seorang akan menerima USD1,000. USD500 yang pertama adalah untuk simpanan mereka, dan USD500 lagi adalah untuk mereka memberi kepada orang lain yang memerlukan. Hale berkata dia mahu para graduan merasai kegembiraan yang datang daripada sikap murah hati dan memberi. Hale menjelaskan, “Jika mereka sendiri dapat merasakan kegembiraan tersebut, mereka mungkin akan terdorong untuk terus mengamalkan sikap pemurah itu dan menjadikannya sebahagian daripada cara hidup mereka.”

Ketika Yesus mengutus murid-murid-Nya untuk memberitakan bahawa “kerajaan syurga sudah dekat”, Dia juga memerintahkan mereka supaya “sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan halaukan roh-roh iblis” (Matius 10:7-8). Mereka sendiri telah mengalami kuasa pembebasan Tuhan dalam hidup mereka, dan sekarang Yesus mahu mereka menyalurkan pembebasan ilahi yang sama kepada orang lain. “Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu,” kata Yesus, “limpahkanlah pemberian” (ayat 8).

Beginilah cara kerajaan Tuhan berfungsi. Kasih kurnia dan belas kasihan yang dicurahkan kepada kita bukan hanya supaya kita sendiri menikmati berkat itu. Tuhan dengan murah hati menghulurkan penyembuhan rohani dan pengharapan kepada kita, lalu kita pula harus menghulurkan penyembuhan dan pengharapan yang sama kepada mereka (seperti kita juga) yang memerlukannya. Kebaikan Tuhan disalurkan kepada dunia melalui kehidupan dan tindakan orang percaya.