“Ayah, boleh tak saya pelihara seekor kuda?” tanya saya kepada ayah ketika saya melalui fasa sangat meminati kuda semasa kecil. “Di mana kita nak peliharanya?” tanya ayah, sambil dengan lembut mengingatkan bahawa kami bukannya tinggal di kawasan luar bandar. “Di garaj,” jawab saya, yakin bahawa saya sudah menemui penyelesaian yang sempurna. Keluarga saya masih ketawa mengenangkan hal itu. Permintaan saya kelihatan munasabah bagi saya yang berusia tujuh tahun, tetapi ayah tahu apa yang lebih baik dan harus berkata “tak boleh” kepada permintaan saya.

Apabila dikaitkan dengan Bapa Syurgawi kita, kita juga boleh meminta daripada-Nya, tetapi Tuhan tidak semestinya memberi jawapan seperti yang kita ingini. Walaupun jawapan-Nya tidak masuk akal pada pandangan kita, kita boleh percaya bahawa Tuhan yang Maha Tahu dan Maha Bijaksana melihat gambaran yang lebih besar.

Dalam Yesaya 55, nabi itu memberitahu orang Yahudi dan bukan Yahudi bahawa Tuhan menghendaki orang durjana berpaling dari jalan mereka dan kembali kepada-Nya supaya Dia dapat mengasihani dan mengampuni mereka (ayat 7). Hal itu mungkin kedengaran tidak masuk akal bagi mereka. Mengapakah Tuhan mahu mengampuni mereka yang memberontak terhadap-Nya dan bukannya menghukum mereka? Namun Tuhan rindu menebus umat-Nya. Jalan dan fikiran-Nya berbeza daripada jalan dan fikiran kita (ayat 8).“Setinggi langit di atas bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku daripada jalanmu dan rancangan-Ku daripada rancanganmu” (ayat 9).

Apabila kita tidak memahami mengapa Tuhan tidak menjawab permintaan kita seperti yang kita inginkan, marilah kita mempercayai sifat-Nya yang penuh kasih dan hikmat-Nya yang tidak terbatas. Jalan-Nya sempurna, dan Dia mengetahui apa yang terbaik bagi kita, iaitu anak-anak-Nya.