Siren amaran puting beliung berbunyi, lalu Terri segera membawa anak-anaknya ke tingkat bawah sementara deru angin kencang, hujan batu dan hujan lebat menghentam rumahnya. Tiba-tiba, dengan bunyi letupan yang kuat, bekalan elektrik terputus. Mereka duduk dalam kegelapan. Terri terdengar bunyi pokok-pokok patah dan melihat percikan api serta nyalaan pada kabel elektrik yang tumbang betul-betul di luar tingkap rumahnya.

Terri tahu siapa yang diperlukannya dan mahu berada di sisinya ketika itu, iaitu ayahnya. Dia menelefon ayahnya. Sambil menangis dia berkata, “Ayah, rumah saya mungkin akan terbakar!” Menyedari ketakutan anaknya, ayahnya berkata, “Ayah datang sekarang juga!” Kurt berlari keluar dengan berkaki ayam, masuk ke dalam trak dan memecut ke rumah anaknya. Anaknya telah memanggilnya—dan dia harus datang segera ke sana. Walaupun pokok-pokok dan kabel elektrik yang putus mengelilingi rumah itu, mujurlah keluarga mereka selamat.

Pemazmur Daud menulis “arus kebinasaan melandanya”. Dalam kegelapan, dia tahu siapa yang diperlukannya, iaitu Bapa yang di syurga. Oleh itu, dalam penderitaannya dia “berseru kepada TUHAN [meminta pertolongan]” (ayat 6). Tuhan mendengar seruannya, datang kepadanya, dan menjadi penyokong yang teguh. Dia mengenal Tuhan adalah Bapa yang bagaikan batu pejal, kubu dan penyelamatnya, dan dia memerlukan Dia, sebagai perlindungan, perisai, dan benteng pertahanannya (ayat 2).

Tuhan juga ialah Bapa kita yang baik dan penuh kasih dan kita boleh berseru kepada-Nya dalam doa ketika kita berada dalam kesusahan. Dia akan segera hadir untuk menolong dan menguatkan kita.