Selepas suami tercinta saya yang telah hidup bersama selama 49 tahun meninggal dunia, saya mendapati tugas-tugas besar dan keputusan yang sukar amat berat untuk dibuat. Namun, dengan mengikuti nasihat daripada sebuah “panduan untuk balu baharu”, saya dapat bangun setiap hari dan menyelesaikan beberapa tugas kecil, seperti menyiram bunga, menyapu beranda, mencabut rumpai, dan menikmati kehangatan sinaran matahari pagi seketika. Dengan cara itu, saya dapat memulakan hari baharu tanpa Dan, suami saya. Rutin-rutin kecil itu mengingatkan saya bahawa kehidupan tetap diteruskan, dan dengan pertolongan Tuhan, saya juga akan terus melangkah.

Namun, sesuatu yang lebih mendalam sedang terjadi. Apabila saya mengemaskan persekitaran saya setiap hari, ia mewujudkan suasana fikiran yang tenang, keadaan yang kemas dan tersusun dalam kehidupan dan rumah saya. Tugasan harian saya memuliakan Tuhan ketika Dia dengan penuh kasih membimbing saya melalui masa yang penuh dengan kesunyian dan dukacita.

Tuhan menciptakan dunia melalui tugas-tugas harian. Sebagai Tuhan yang baik dan bekerja dengan tulus, benar dan bertanggungjawab, Dia menganggap pekerjaan yang dilakukan dengan ciri-ciri tersebut itu baik. Itulah sebabnya Dia menempatkan Adam “di dalam Taman Eden untuk mengerjakan serta memelihara taman itu” (Kejadian 2:15). Jadi, apabila kita bekerja, kita diberkati oleh Tuhan yang menciptakan kita menurut gambar-Nya—termasuk sebagai pekerja.

Oleh itu, mengemas taman kecil saya setiap pagi menjadi satu cara saya untuk menyapa Tuhan dan merasakan penjagaan-Nya yang penuh kasih. Seperti yang ditulis oleh rasul Paulus: “Segala yang kamu lakukan … haruslah dengan nama Tuhan Yesus sambil mengucap syukur kepada Allah Bapa kita.” (Kolose 3:17). Pada mulanya, kerja saya kelihatan kecil dan tidak penting. Tetapi apabila dukacita semakin reda, saya berasa diberkati kerana dapat melihat makna yang lebih besar dalam kerja-kerja kecil yang saya lakukan dengan tulus ikhlas: ia adalah pemberian penuh kasih daripada Tuhan yang memuliakan-Nya.