“Ya ampun, kamu mirip ayah kamulah!” Saya sering mendengar kata-kata itu apabila saya pulang ke rumah selepas ayah saya meninggal dunia. Orang yang sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan saya, malah ada juga yang tidak pernah mengenali saya sebelum ini, terkejut melihat kemiripan saya dengan ayah saya.

Wajah kita sering kelihatan mirip ibu bapa kandung kita dan memang ada sebab yang baik untuk itu. Kita mewarisi separuh DNA daripada ibu dan separuh lagi daripada bapa. Gen-gen tersebut menentukan ciri-ciri fizikal kita seperti warna mata, tekstur rambut, hinggalah bentuk wajah. Semuanya itu menghasilkan persamaan rupa yang kadang-kadang menakjubkan dalam sesebuah keluarga.

Kejadian 1:27 menjadi dasar kepada apa yang disebut dalam bahasa Latin imago Dei—gambaran ilahi. “Maka Allah menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. Menurut gambaran Allah, Dia mencipta mereka, lelaki dan perempuan” (Kejadian 1:27). Penciptaan manusia yang menurut gambaran Tuhan bererti setiap orang memiliki martabat tertentu, kita ialah “seseorang”, bukan “sesuatu”. Kehidupan yang selaras dengan kebenaran ini mempengaruhi bukan sahaja cara kita memandang orang lain, tetapi juga cara kita melayan mereka. Kepada setiap orang yang kita temui, kita boleh berkata, “Kamu ialah gambaran Tuhan, Bapa kita!”

Ini tidak bermakna kita perlu bersetuju dengan semua perbuatan atau fikiran seseorang. Namun, kita tetap perlu menghormati martabat yang sememangnya dimiliki oleh setiap insan. Seperti yang ditulis oleh penulis Lucy Peppiatt, “[Setiap insan] Diciptakan dengan khas, dirancang dalam fikiran Tuhan, kemudian dijadikan wujud. Ini telah menyampaikan sesuatu yang sangat mendalam tentang nilai semula jadi seseorang.” Sambung penulis, “Mesej tentang penciptaan manusia adalah, anda dikasihi; anda diingini; anda dihargai.” Ya, kita semua.