Semasa Perang Dunia Kedua, wartawan Ernie Pyle ditugaskan bersama kuasa bersekutu yang memerangi Nazi untuk melaporkan keadaan di medan perang. Pada suatu hari, dia berbual dengan seorang anggota kru kereta kebal sejurus sebelum dia memasuki medan pertempuran. Namun kemudian selaras meriam menghentam kereta kebal tersebut, lalu Pyle menyaksikan seluruh kru itu terbunuh. Pyle melaporkan kisah itu dalam akhbar-akbar di Amerika Syarikat. Liputan Pyle tentang kesukaran dan penderitaan perang telah membuka mata rakyat Amerika serta membangkitkan semangat para tentera, sehinggalah akhirnya dia sendiri turut terkorban semasa menjalankan tugas.

Dalam kitab Keluaran, Musa menuliskan kisah kesusahan dan pergelutan yang bertujuan untuk memaklumkan dan mengajar orang Israel. “Kemudian datanglah orang Amalek dan berperang melawan orang Israel,” tulisnya (17:8). Dia berkata kepada komander tenteranya Yosua, “Pilihlah bagi kita beberapa orang, lalu keluarlah berperang” (ayat 9). Sementara itu, “Musa, Harun dan Hur naik ke puncak bukit” untuk memerhatikan (ayat 10). “Lalu inilah yang terjadi: apabila Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang, namun apabila dia menurunkan tangannya, orang Amalek menang (ayat 11). Harun dan Hur menopang tangan Musa, dan orang Israel menang (ayat 12-13).

Perhatikan apa yang Tuhan katakan kepada Musa: “ Tulislah hal ini dalam kitab sebagai peringatan, dan sampaikan kepada Yosua” (ayat 14). Musa sedang mengajar generasi yang akan datang supaya bergantung sepenuhnya pada kekuatan Tuhan untuk maju dan menghadapi cabaran. Suatu hari nanti, Yosua akan mengambil alih tugas Musa dan memimpin bangsa Israel memasuki tanah yang dijanjikan.

Tetapi Musa juga mengajar kita. Daripada kisah yang dicatatnya, kita belajar tentang keperluan kita untuk menyokong satu sama lain dan kebergantungan kita sepenuhnya kepada Tuhan.