Rakan sekerja Dino menemui dia di lorong belakang bengkel membaiki kenderaan. Dino, seorang mekanik, sedang duduk di atas sebuah peti sambil termenung sehingga tidak mendengar rakannya bertanya, “Mengapa kamu di sini? Semuanya ok?” Kemudian Dino menjelaskan, “Saya sedang berdoa. Isteri saya menghidap kanser, dan saya sedang memohon pertolongan Tuhan.” Keluhnya lagi, “Terlalu banyak masalah yang membebani saya sehingga saya tidak mampu lagi meluahkan segala isi hati dengan kata-kata kepada Tuhan. Jadi saya hanya diam-diam menyerahkan segala rayuan hati saya kepada Tuhan. Saya tahu Dia memahami isi hati saya.”

Adakala beban hidup begitu berat sehingga kita tidak dapat terungkapkan dengan kata-kata dalam doa. Pada saat seperti itu, kita mungkin tertanya-tanya, “Bagaimanakah aku dapat memberitahu Tuhan tentang keperluanku sedangkan aku tidak mampu mengungkapkannya dengan baik?” Dalam keadaan demikian, kita boleh mengingati Hana, yang berdoa dalam diam, “atas sebab begitu besarnya keluh-kesah dan sakit hati” (1 Samuel 1:16). Pada zaman Israel kuno, doa biasanya diucapkan dengan suara dan dilakukan di tempat umum. Namun, iman Hana begitu teguh sehingga dia yakin Tuhan tetap mendengar dan memahami doanya yang dipanjatkan dalam diam.

Hana sangat menginginkan seorang anak lelaki. Di Bait TUHAN, sambil menangis, dia memberitahu Tuhan tentang keperluannya (ayat 10-11). Dia secara senyap terus berdoa “dalam hatinya” (ayat 13), sehingga imam besar menyangka dia itu mabuk (ayat 13-14). Akhirnya Tuhan mengurniakan kepadanya seorang anak lelaki yang dinamainya Samuel. Menurut Hana, Samuel bermaksud “kerana aku telah memintanya daripada Tuhan”. Di kemudian hari, Samuel menjadi seorang nabi Israel (1 Samuel 3:20), yang membimbing bangsa Israel semasa mereka hidup di bawah pemerintahan raja pertama mereka.

Doa tidak semestinya memerlukan suara atau kata-kata kita. Tuhan memahami kita walaupun kita tidak dapat menuturkannya.