Selama bertahun-tahun, Mak Cik Kim sangat tidak disukai oleh saudara-maranya. Dia mementingkan diri, kasar, dan tidak mengambil berat terhadap orang lain. Tetapi setelah percaya kepada Yesus, keperibadiannya mula berubah. Dia menjadi lebih mesra dan penyayang, bahkan mula melayani sebagai sukarelawan di gereja. Mereka yang dahulunya tidak menyukainya mengakui perubahan yang berlaku dalam hidupnya dan menganggap “mukjizat” itu sebagai pekerjaan Tuhan. Seorang ibu saudara yang bukan Kristian berkata, “Rasanya menjadi orang Kristian benar-benar akan mengubah seseorang.”
Dalam suratnya kepada Timotius, rasul Paulus menggambarkan bagaimana dia sendiri mengalami kebenaran ini. Dia yang dahulunya seorang “yang kufur, menganiaya dan ganas” terhadap orang yang percaya kepada Yesus (1 Timotius 1:13), tetapi Tuhan mengubahnya menjadi salah seorang penginjil yang terhebat dalam sejarah. Perubahan itu kelihatan mustahil, tetapi Tuhan menjadikan seorang ahli hukum yang bersemangat sebagai contoh sempurna bagi kasih kurnia-Nya yang melimpah. Seperti dikatakan oleh Paulus, “justeru kerana itulah Allah mengasihani aku, supaya Kristus Yesus dapat menunjukkan kesabaran dengan sepenuhnya terhadap aku, orang yang paling berdosa. Hal ini menjadi contoh untuk semua orang yang kelak akan percaya kepada-Nya dan mendapat hidup sejati dan kekal” (ayat 16 TMV).
Kita mungkin mengenali orang yang kelihatan mustahil untuk percaya kepada Kristus, tetapi marilah kita terus berdoa bagi mereka. Tuhan berkuasa mengubah bahkan orang yang paling sukar, termasuk diri kita sendiri, menurut waktu dan cara-Nya. Kita boleh mempercayai rahmat-Nya dan kuasa kematian Yesus di kayu salib yang mampu menyelamatkan setiap orang, malahan orang yang paling berdosa (ayat 15).
ILHAM
Berdoalah untuk mereka yang kelihatan tidak mungkin berubah. Tuhan berkuasa untuk mengubah hati manusia, termasuk orang yang paling sukar untuk berubah.
Paulus teringat bagaimana tiga puluh tahun sebelumnya, dia telah menganiayai orang yang percaya kepada Yesus, tetapi Kristus dengan penuh belas kasihan telah menyelamatkannya di Damsyik (lihat Kisah Para Rasul 9:19; 22:3-21; 26:9-18). Dalam 1 Timotius, dia menyatakan bahawa Tuhan telah menyelamatkannya sebagai bukti kasih dan belas kasihan-Nya yang besar. Sungguh menakjubkan! Paulus menjelaskan bahawa Tuhan menyelamatkannya “supaya Kristus Yesus dapat menunjukkan kesabaran dengan sepenuhnya terhadap aku, orang yang paling berdosa. Hal ini menjadi contoh untuk semua orang yang kelak akan percaya kepada-Nya dan mendapat hidup sejati dan kekal” (1 Timotius 1:16 TMV). Jika Yesus menyelamatkan dan memakai seorang penganiaya yang begitu kejam seperti Paulus—yang menganggap dirinya orang yang paling berdosa (ayat 13-16)—maka tiada sesiapa pun yang berada di luar jangkauan rahmat penebusan Tuhan.
