Menurut doktor Dhruv Khullar, diagnosis perubatan kegemarannya ialah “kegagalan pertumbuhan” (failure to thrive). Walaupun dia berasa sedih akan pesakit yang tiada perkembangan positif dari segi fizikal, emosi, atau keseluruhan kesihatan, diagnosis ini mengandungi kenyataan yang ketara: Manusia … sememangnya diciptakan untuk bertumbuh dan berkembang. Khullar seterusnya menjelaskan, jika pesakit benar-benar ingin bertumbuh kuat walaupun berdepan dengan cabaran hidup, mereka perlu berakar umbi dalam makna dan tujuan hidup, yang sering menjadi kenyataan melalui hubungan dengan orang lain dan sikap melayani, lanjut Khullar lagi.
Pandangan itu seiring dengan gambaran Alkitab tentang perkembangan manusia. Selepas bangsa Israel mengalami trauma akibat dibuang negeri dan sangat mendambakan harapan, nabi Yesaya membuat pengisytiharan ini: Roh Tuhan akan menyembuh dan memperbaharui umat-Nya. Mereka bukan sahaja akan terus hidup, malah mereka akan mengalami pemulihan dan kebebasan yang menyeluruh (61:1). Pakaian berkabung mereka akan ditukar dengan “jubah puji-pujian sebagai ganti semangat yang pudar” (ayat 3).
Kehidupan mereka yang dipulihkan juga mempunyai misi dan tujuan,iaitu untuk “membina semula tempat-tempat yang sudah lama rosak … memperelok semula kota-kota yang rosak” (ayat 4) dan melayani sebagai “para imam TUHAN” dan “para hamba Allah” (ayat 6). Kehidupan mereka akan menjadi seperti “pokok oak perbenaran” yang perkasa—”yang ditanam TUHAN supaya Dia dipermuliakan” (ayat 3)
Harapan dan tujuan yang sama itu masih memberi kekuatan dan semangat kepada umat Tuhan hari ini. Walaupun kita masih menantikan pemulihan yang sempurna daripada Tuhan, kita masih dapat melihat kerja pemulihan-Nya. Apabila kita membina komuniti yang bertumbuh kuat dengan bergantung pada kekuatan Tuhan, , kehidupan kita akan menjadi saksi yang hidup bagi keindahan dan kemuliaan Tuhan.
Bagaimanakah hidup dalam komuniti Kristian dapat membantu seseorang menemukan tujuan hidup?
ILHAM
Ketika kita menantikan penyembuhan yang sempurna, kita dapat menyaksikan karya pemulihan Tuhan. Apabila kita berusaha mewujudkan kesejahteraan dalam masyarakat, kita dapat menjadi saksi hidup tentang keindahan karya-Nya.
Selepas Yesus dibaptiskan oleh Yohanes (Lukas 3:21-22) dan dicubai oleh Iblis di padang gurun (4:1-13), Kristus kembali ke saumaah di Nazaret (ayat 16). Dia memetik Yesaya 61:1-2 untuk memperkenalkan pelayanan-Nya kepada orang ramai. Dia mengisytiharkan bahawa melalui-Nya, “ayat Kitab Suci ini telah terlaksana ketika kamu mendengarnya” (Lukas 4:21). Yesaya menubuatkan bahawa Mesias akan “membina semula tempat-tempat yang sudah lama rosak” (Yesaya 61:4). Ketika nabi itu menyampaikan kata-kata ini, mesej tersebut memberikan galakan yang besar kepada umat Israel. Namun, nubuat itu juga menggambarkan kedatangan Mesias pada masa hadapan. Hari ini, sementara kita menantikan penyembuhan yang sempurna, kita dapat menyaksikan karya pemulihan Tuhan dan memancarkan keindahan-Nya melalui kehidupan kita.
