Jessica ialah seorang gadis berusia enam belas tahun yang baru meninggalkan keluarganya yang bermasalah. Dia datang ke gereja untuk mencari jawapan dan pertolongan. Jessica sudah mengetahui tentang Yesus tetapi dia mengakui bahawa dia belum benar-benar memahami atau mengalami betapa mendalam dan indahnya mempunyai hubungan peribadi dengan-Nya. Dia bercakap dengan guru sekolah Minggu dan mentornya, yang memberitahunya, “Jatuh cintalah dengan Yesus.” Dia berkata bahawa itulah nasihat terbaik yang pernah diberikan kepadanya. Selama beberapa tahun berikutnya, “ Tuhan semakin menyatakan diri-Nya kepada [dia].” Tuhan menariknya kepada hubungan yang lebih rapat dengan Tuhan, dan memberikan penghiburan yang diperlukannya. Jessica kini “membantu orang lain mengalami pemulihan melalui pengajaran dan bimbingannya.
Seperti Jessica, Timotius mendapat manfaat daripada rasul Paulus, iaitu mentornya. Paulus menggalakkan Timotius, “anak sejati[nya] dalam iman” (1 Timotius 1:2). Melalui bimbingan mentornya, Timotius juga menjadi seorang penginjil dan mentor kepada orang lain. Dalam 2 Timotius 1, Paulus mengingatkan Timotius tentang didikannya dan Roh yang kini bertapak di dalam dirinya (ayat 5-7, 14). Dan dia berkata kepadanya: “Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus” (ayat 13). Akhirnya, dia mengingatkannya bahawa Roh Kudus akan membantunya hidup kuat dalam iman.
Sama ada kita mendapat manfaat daripada mempunyai seorang mentor atau tidak, kita boleh membimbing orang lain untuk jatuh cinta kepada Yesus melalui bimbingan, teladan, dan kasih kita—dengan bantuan Roh yang tinggal di dalam diri kita.
ILHAM
Mohonlah bimbingan Tuhan supaya kita dapat membimbing orang lain untuk mengasihi Yesus menerusi pengajaran, teladan, dan kasih kita.
Kita mula-mula mengenali Timotius melalui Kisah Para Rasul 16:1-5. Dia tinggal di Listra dan “dipandang tinggi” (ayat 2) oleh orang yang percaya kepada Yesus di situ. Oleh itu, Paulus terdorong untuk “membawa Timotius bersamanya” (ayat 3). Tidak dapat dinafikan bahawa Timotius mendapat manfaat daripada didikan ibu dan neneknya yang percaya kepada Tuhan (2 Timotius 1:5). Namun, Paulus berperanan sebagai bapa rohaninya dengan membimbing—“anak[nya] yang dikasihi”—dalam iman (ayat 2). Kemudian, Paulus menyenaraikan Timotius sebagai pengarang bersama surat 2 Korintus (lihat 2 Korintus 1:1), yang mengingatkan orang percaya di Korintus tentang kehidupan baharu dalam Kristus (5:17). Sebagaimana Paulus membimbing Timotius, kita juga dapat membantu orang lain dalam perjalanan iman mereka.
