Sehari selepas Krismas, seorang pemimpin pelayanan kembali bekerja walaupun kebanyakan orang di pejabatnya walaupun kebanyakan rakan sekerjanya masih bercuti. “Orang ramai masih meminta bantuan kami,” jelasnya. Oleh sebab diinspirasikan oleh makna sebenar di sebalik Krismas, dia dengan gembira terus melayani sehari selepas 25 Disember setiap tahun. “Kembali kepada kawanan domba,” katanya dengan ceria—seperti gembala dalam kisah Krismas.

Mungkin ada satu detik dalam kisah pengumuman kelahiran Yesus yang sering tidak diberi perhatian, tetapi sebenarnya sangat penting. Gembala-gembala yang sederhana dan rendah kedudukan dalam masyarakat itu berada di padang berhampiran Betlehem, “menjaga kawanan mereka pada waktu malam” (Lukas 2:8 TB). Kemudian, selepas “ malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka” (ayat 9 AVB) dengan mengumumkan berita baik tentang kelahiran Mesias, gembala-gembala yang rendah hati itu bergegas untuk melakukan tiga perkara yang patut diberi perhatian.

Pertama, mereka cepat-cepat berangkat untuk mencari bayi Yesus dan berkata kepada sesama sendiri, “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu” (ayat 15). Kedua, mereka menyebarkan berita tentang bayi Kristus (ayat 17). “ Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka” (ayat 18).

Tetapi yang ketiga dan akhirnya, mereka kembali bekerja. Seperti yang diingatkan oleh kisah ini, “Kemudian gembala-gembala itu pulang [kepada kawanan ternak mereka,] sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka” (ayat 20). Teladan yang sungguh indah bagi kita! Selepas menikmati kegembiraan Krismas, semoga kita juga kembali kepada mereka yang kita layani, bahkan kembali ke “ladang” pelayanan yang mencabar. Semasa kita berjalan bersama-Nya, semoga pekerjaan kita memuliakan dan memuji Tuhan yang di atas segala sesuatu.