Dalam novel The Hobbit oleh J. R. R. Tolkien, sekumpulan orang kerdil dan seorang hobbit bernama Bilbo mengembara melalui kawasan liar untuk mendapatkan semula harta karun yang telah lama hilang. Di penghujung perjalanan mereka, mereka bertemu dengan penjaga harta karun itu, iaitu seekor naga bernama Smaug. Apabila Bilbo menyelinap masuk ke sarang naga untuk melihat dan menilai keadaan, naga itu bertanya kepadanya, “Siapakah kamu dan dari mana kamu datang?”

Hobbit itu menggambarkan dirinya berdasarkan peristiwa yang telah dilaluinya sepanjang pengembaraan. Dia memberi dirinya gelaran seperti “pencari petunjuk”, “tetamu burung helang” dan “pemilik cincin”. Setiap nama tersebut menandakan langkah kecil ke arah dia menjadi individu yang lebih sempurna seperti tujuan sebenar kewujudannya. Akhirnya, rakannya yang bijaksana, Gandalf, memandangnya dan berkata, “Kamu bukan lagi hobbit seperti yang dahulu.”

Identiti kita dikaitkan dengan perjalanan rohani kita apabila kita mengenali Tuhan dan berjalan bersama-sama dengan-Nya. Kita pernah menjadi “anak-anak yang dimurkai” (Efesus 2:3). Tetapi apabila kita menerima pengorbanan Kristus dan menyerahkan diri kita kepada-Nya, kita menjadi “anak-anak Allah” (ayat 4-5; 1 Yohanes 3:1). Namun, itu belum semuanya: “belum nyata bagaimana keadaan kita kelak” (ayat 2). Melalui kuasa Roh Kudus, kita menjadi semakin serupa dengan Yesus. Apabila Dia kembali, Dia akan menyelesaikan proses transformasi dalam kehidupan rohani kita.

Hari ini, ingatlah bahawa dalam Kristus, anda ialah anak Tuhan yang dikasihi. Identiti utama anda terdapat dalam hubungan anda dengan-Nya.