Apabila menghadapi peperangan rohani, orang yang percaya kepada Yesus harus bersikap serius dalam doa. Bagaimanapun, seorang wanita dari Florida mendapati dia menimpa bahaya dengan amalan doa yang tidak wajar. Setiap kali dia berdoa, dia menutup matanya. Tetapi ketika dia memandu pada suatu hari dan berdoa (dengan mata tertutup!), dia gagal memberhentikan keretanya di depan papan tanda berhenti kerana dia tidak nampak tanda tersebut. Akibatnya, keretanya terpelanting ke persimpangan jalan dan merempuh masuk ke halaman rumah orang. Dia kemudiannya cuba keluar dari halaman rumput tersebut tetapi tidak berjaya. Walaupun dia tidak mengalami sebarang kecederaan, dia disaman oleh polis kerana memandu secara bahaya dan menyebabkan kerosakan harta benda. Pahlawan doa ini telah mengabaikan bahagian penting dalam Efesus 6:18: berjaga-jaga.

Sebagai sebahagian senjata Tuhan dalam Efesus 6, rasul Paulus memasukkan dua bahagian terakhir. Pertama, kita harus melawan peperangan rohani dengan doa. Hal Ini bermakna kita harus berdoa dalam Roh TUHAN—bergantung pada kuasa-Nya. Selain itu, kita harus percaya akan pimpinan-Nya dan mentaati kehendak-Nya—“Pohonlah sentiasa dengan segala doa” (ayat 18). Kedua, Paulus menggesa kita “berjaga-jaga”. Ini menolong kita bersiap sedia untuk kedatangan Yesus yang kedua kali (Markus 13:33), memperoleh kemenangan ke atas godaan (14:38), dan menjadi perantara bagi semua orang salih (Efesus 6:18).

Ketika kita bertempur dalam peperangan rohani setiap hari, marilah kita “berdoa dan berjaga-jaga”—melawan kuasa jahat dan menembusi kegelapan dengan cahaya Kristus.