Ketika Dean beredar dari rumahnya pada suatu pagi, dia mendapati beberapa orang rakannya sedang menunggu sambil memegang belon. Rakannya, Josh tampil dan berkata, “Kami menyertakan puisi kamu dalam satu pertandingan,” kemudian menyerahkan satu sampul surat kepada Dean. Di dalamnya terdapat kad yang bertulis ‘”Hadiah Pertama” Sebentar kemudian semua orang menangis kegembiraan. Rakan-rakan Dean telah melakukan perkara yang indah kerana mengesahkan bakat penulisannya.

Menangis kerana gembira merupakan pengalaman yang bertentangan. Air mata biasanya suatu tindak balas kepada kesakitan, bukan kegembiraan; dan kegembiraan biasanya dinyatakan dengan gelak ketawa, bukan air mata. Para ahli psikologi Itali memperhatikan bahawa air mata kegembiraan bercucuran saat adanya makna peribadi yang mendalam, misalnya apabila kita berasa amat disayangi atau mencapai matlamat penting. Ini menyebabkan para ahli psikologi itu membuat kesimpulan bahawa air mata kegembiraan ialah tanda bahawa kita telah melihat makna hidup kita.

Saya membayangkan air mata kegembiraan bercucuran di mana-mana sahaja Yesus pergi. Bagaimanakah mungkin ibu bapa lelaki yang dilahirkan buta itu tidak menangis kegembiraan apabila Yesus menyembuhkan anak mereka itu (Yohanes 9:1-9), begitu juga dengan Maria dan Marta selepas Yesus membangkitkan saudara mereka daripada kematian (11:38-44)? Apabila umat Tuhan dibawa ke dunia yang dipulihkan, “Air mata kegirangan akan membasahi pipi mereka”, kata Tuhan, “dan dengan penuh kasih Aku akan memimpin mereka pulang (Yeremia 31:9, FAYH).

Jika air mata kegembiraan menunjukkan kita tentang makna hidup kita, bayangkanlah hari besar yang akan datang itu. Ketika air mata membasahi pipi kita, tanpa ragu-ragu kita akan tahu bahawa makna hidup yang sebenar ialah ketika kita sentiasa hidup akrab dengan-Nya.