Tidak Lagi Tiada Bapa
Guy Bryant seorang bujang, tidak mempunyai anak sendiri dan bekerja di Jabatan Kebajikan Kanak-Kanak di bandar raya New York. Setiap hari dia berhadapan dengan keperluan yang mendesak bagi mendapatkan ibu bapa angkat, lalu dia memutuskan untuk melakukan sesuatu tentangnya. Selama lebih daripada 10 tahun, Bryant telah mengasuh lebih daripada 50 orang anak, bahkan dia pernah menjaga 9 orang anak pada masa yang sama. “Setiap kali saya menoleh ke belakang, ada sahaja kanak-kanak yang memerlukan tempat tinggal,” jelas Bryant. “Jika anda mempunyai ruang di rumah dan dalam hati anda, lakukannya sahaja. Anda tidak perlu terlalu memikirkannya.” Anak-anak angkat yang telah menjadi dewasa dan membina hidup mereka sendiri masih mempunyai kunci pangsapuri Bryant dan sering kali pulang pada hari Ahad untuk makan tengah hari dengan “Abah”. Bryant telah menunjukkan kasih bapa kepada ramai anak.
Penyembuhan bagi Seluruh Dunia
Di Barat Slovenia, sebuah kemudahan perubatan rahsia (Hospital Partisan Franja) yang terletak di gaung yang terpencil pernah menempatkan sejumlah besar kakitangan yang merawat ribuan askar yang cedera semasa Perang Dunia II—sementara bersembunyi daripada pemburuan pihak Nazi. Walaupun pusat perubatan ini berjaya menghindari banyak percubaan pihak Nazi untuk mengesan lokasi mereka, perkara yang lebih luar biasa adalah hospital ini (yang diasaskan dan dikendalikan oleh gerakan penentangan Slovenia) merawat tentera daripada kedua-dua pihak tentera Bersekutu dan Paksi. Hospital tersebut menerima semua orang.
Sesuatu yang Dalam dan Terikat
Amina, seorang pendatang dari Iraq, dan Joseph, seorang rakyat Amerika sejak lahir, menghadiri demonstrasi politik untuk menyokong pendirian masing-masing yang bertentangan. Kita telah diajar untuk percaya bahawa permusuhan yang mendalam wujud antara mereka yang terpisah oleh etnik dan politik.. Bagaimanapun, ketika sekumpulan kecil perusuh menyerang Joseph dan cuba membakar bajunya, Amina bergegas untuk melindunginya. “Saya berfikir kita tidak dapat dipisahkan sebagai manusia,” kata Joseph kepada wartawan, “Inilah saatnya kami menyedari bahawa ‘tindakan ini tidak ok.” Sesuatu yang lebih mendalam berbanding dengan politik telah menyatukan Amina dan Joseph.
Pergelutan Sengit
Pada tahun 1896, seorang penjelajah bernama Carl Akeley telah dikejar oleh seekor harimau bintang kira-kira seberat 36 kilogram di bahagian terpencil negara Etiopia. Dia teringat harimau bintang itu menerkam dan cuba “membenamkan giginya ke dalam tekak saya.” Binatang ini terlepas peluangnya, tetapi merobek lengan kanan Akeley dengan rahangnya yang kuat. Kedua-duanya bergelut di atas pasir—satu pergelutan yang panjang dan sengit. Akeley semakin lemah, dan sedar bahawa pergelutan “ini menjadi persoalan siapa yang akan mengalah terlebih dahulu.” Dengan tenaga terakhirnya, Akeley akhirnya berjaya mencekik kucing besar itu dengan menggunakan tangannya sahaja.
Benar-Benar Hidup
Seminggu selepas hari Paska, Wyatt, anak lelaki kami yang berusia 5 tahun telah mendengar banyak perbualan tentang kebangkitan. Dia selalu ada banyak soalan dan biasanya sukar untuk dijawab. Masa itu saya sedang memandu dan dia duduk di kerusi keselamatan di belakang saya. Wyatt merenung ke luar jendela, terhanyut dalam fikirannya. “Ayah,” katanya, lalu berhenti sejenak dan bersedia menanyakan soalan yang sukar kepada saya. “Apabila Yesus buat kita hidup semula, betulkah kita ni akan hidup, atau itu hanya dalam fikiran kita saja?”
Hal ini Mengubah Segalanya
Jaroslav Pelikan merupakan profesor yang sudah lama mengajar di Universiti Yale dan dianggap sebagai salah seorang “autoriti generasinya yang terkemuka dalam sejarah Kristian,” serta terkenal dengan kerjaya akademiknya yang cemerlang. Dia pernah menerbitkan lebih daripada 30 buah buku dan memenangi Anugerah Kluge sebagai penghargaan sepanjang hayat untuk penulisannya yang produktif. Walau bagaimanapun, salah seorang pelajarnya mengimbas kembali kata-kata guru yang dianggapnya paling penting, yang dikatakan sebelum kematiannya: “Sekiranya Kristus telah bangkit, tiada apa-apa yang lebih penting daripada-Nya. Namun sekiranya Kristus tidak bangkit, tiada apa-apa yang penting lagi.”
Hidup Berintegriti
Abel Mutai, pelari dari Kenya yang bertanding dalam perlumbaan merentas desa antarabangsa, hanya berada beberapa meter dari garisan penamat dan bakal meraih kemenangan. Disebabkan dia keliru dengan papan tanda laluan dan berfikir bahawa dia sudah melepasi garisan penamat, lalu Mutai berhenti sebentar. Pelari dari Sepanyol di tempat kedua, Ivan Fernandez Anaya, melihat kesilapan Mutai. Dia tidak mengambil kesempatan untuk menang, sebaliknya dia mengejar Mutai, menghulurkan tangan dan membimbing Mutai maju untuk memenangi pingat emas. Ketika wartawan bertanya kepada Anaya sebabnya dia sengaja kalah dalam perlumbaan, dia menegaskan bahawa Mutai berhak untuk menang, bukan dia. “Apakah gunanya kemenangan itu? Apakah kebanggaan yang dibawa oleh pingat itu? Apakah pandangan ibuku tentang hal ini?” Sebagaimana yang dipaparkan dalam satu berita: “Anaya memilih kejujuran daripada kemenangan.”
Sukacita Berita Baik
Suatu petang pada tahun 1964, gempa bumi dengan magnitud 9.2 telah melanda Alaska selama lebih daripada 4 minit. Di Anchorage, seluruh blok bangunan bandar raya dimusnahkan, hanya tinggal kawah besar dan reruntuhan. Pada malam yang gelap dan menakutkan, wartawan berita Genie Chance berdiri dengan memegang mikrofonnya, menyampaikan mesej kepada orang-orang yang berada dalam kecemasan sambil duduk di sisi radio mereka: seorang suami yang bekerja di hutan mendapat berita bahawa isterinya masih hidup; beberapa keluarga yang tidak keruan kini tahu anak lelaki mereka yang dalam perjalanan pulang dari perkhemahan pengakap dalam keadaan selamat; sepasang suami dan isteri mendengar bahawa anak-anak mereka telah dijumpai. Satu demi satu berita baik kedengaran melalui radio, sukacita besar wujud di tengah-tengah kehancuran.
Kuasa Cinta
Pasangan berusia dalam lingkungan 80-an, iaitu seorang berasal dari Jerman dan seorang lagi dari Denmark, merupakan pasangan yang luar biasa. Mereka masing-masing telah berkahwin selama 60 tahun sebelum mereka menjadi janda dan duda. Mereka tinggal di negara berasingan yang hanya dipisahkan oleh sempadan sejauh 15 minit jaraknya. Meskipun demikian, mereka tetap saling mencintai, sering menikmati makanan masakan sendiri dan meluangkan masa bersama. Malangnya pada tahun 2020, kerajaan Denmark menutup jalan masuk sempadan disebabkan virus korona,. Namun itu tidak menjadi halangan bagi mereka. Setiap hari pada jam 3:00 petang, kedua-duanya akan bertemu di jalan yang kecil dan sunyi, duduk bersebelahan di sempadan negara masing-masing dan berkongsi makanan. “Kami berada di sini kerana cinta,” jelas lelaki itu. Cinta mereka lebih kuat daripada sempadan, lebih hebat daripada pandemik.