Saya menerima e-mel daripada seorang pemuda di England, yang menjelaskan bahawa bapanya (berumur 63 tahun) kini dalam keadaan kritikal di hospital. Walaupun kami tidak pernah bertemu, pekerjaan ayahnya dan ayah saya mempunyai banyak persamaan. Anak lelaki yang cuba mendorong bapanya itu, meminta saya menghantar mesej dalam bentuk video sebagai galakan dan doa kepadanya. Saya sangat terharu, dan merakamkan pesanan ringkas serta doa untuk penyembuhan ayahnya. Saya diberitahu bahawa ayahnya menonton video tersebut dengan hati yang penuh terkesan. Sedih sekali, beberapa hari kemudian, saya menerima e-mel yang memberitahu bahawa ayahnya telah meninggal dunia. Dia memegang tangan isterinya sewaktu dia menghembuskan nafas yang terakhir.

Hati saya hancur, apabila kesedihan sedemikian menimpa keluarga ini. Terlalu awal bagi mereka kehilangan seorang suami dan ayah. Namun kita terkejut apabila mendengar Yesus menegaskan bahawa orang-orang yang bersedih adalah diberkati: Yesus berkata, “Diberkatilah mereka yang bersedih” (Matius 5:4). Yesus tidak mengatakan bahawa penderitaan dan kesedihan adalah baik, melainkan bahawa belas kasihan dan kebaikan Tuhan tercurah kepada mereka yang paling memerlukannya. Orang yang dilanda kesedihan akibat kematian bahkan oleh perbuatan dosa mereka sendiri, mereka inilah yang paling memerlukan perhatian dan penghiburan Tuhan—dan Yesus berjanji kepada kita bahawa “mereka akan terhibur” (ayat 4).

Tuhan menghampiri kita, anak-anak-Nya yang dikasihi (ayat 9). Dia memberkati kita dalam tangisan kita.