Beberapa tahun yang lalu, kami membawa pulang seekor kucing hitam bernama Juno dari sebuah rumah perlindungan haiwan. Sebenarnya saya hanya ingin membantu mengurangkan populasi tikus, tetapi ahli keluarga yang lain mahu menjadikannya binatang peliharaan. Rumah perlindungan itu memberikan penerangan yang rapi tentang cara memberi makanan kepada Juno pada minggu pertama supaya Juno boleh membiasakan dirinya di rumah kami, menganggap rumah kami sebagai rumahnya yang boleh selalu mendapatkan makanan da perlindungan. Dengan cara ini, walaupun Juno keluar berkeliaran, kucing ini akan sentiasa pulang ke rumah kami.

Jika kita tidak tahu rumah sebenar kita, kita selamanya akan selalu berkeliaran di luar untuk mencari kebaikan, kasih dan makna hidup. Bagaimanapun, sekiranya kita mahu mencari erti sebenar kehidupan, Yesus berfirman, “Tetaplah di dalam-Ku” (Yohanes 15:4). Cendekiawan Alkitab, Frederick Dale Bruner menekankan perkataan tetaplah (sama dengan perkataan, tinggal) boleh menimbulkan perasaan rumah dan kekeluargaan. Jadi, Bruner mengertikan kata-kata Yesus kepada “Tinggallah di dalam rumah-Ku.”

Yesus menggunakan perumpamaan ranting yang tinggal pada pokok anggur agar orang boleh faham. Jika ranting-ranting itu mahu terus hidup, ia mestilah tinggal di rumahnya, iaitu dengan gigihnya menetap di tempatnya.

Terdapat banyak suara yang memberi kita janji kosong untuk menyelesaikan masalah kita atau memberi kita “kebijaksanaan” baru, atau masa depan yang menggembirakan. Tetapi jika kita ingin benar-benar hidup, kita mesti kekal dalam Yesus, iaitu rumah kita.