Sebagai pemain bola sepak, Christian Pulisic mengalami beberapa kecederaan yang boleh menjejaskan kerjayanya. Walaupun dia sangat kecewa setelah mendapat tahu bahawa dia tidak termasuk dalam barisan Liga Juara di peringkat separuh akhir, dia menceritakan bagaimana Tuhan menyatakan diri-Nya kepada dia. “Saya sentiasa berharap kepada Tuhan kerana Dia memberi saya kekuatan,” katanya. “Saya merasakan ada Seseorang yang bersama saya. Tanpa perasaan itu, saya tidak tahu apa lagi yang saya boleh buat.” Pulisic berjaya menunjukkan impak yang penting apabila menggantikan seorang pemain dalam satu perlawanan. Dia menggunakan taktik permainan yang hebat sehingga pasukannya berjaya memenangi perlawanan tersebut. Pengalaman itu mengajar dia bahawa kelemahan kita boleh digunakan sebagai peluang untuk Tuhan menunjukkan kekuatan-Nya yang tidak terhingga.

Dunia ini mengajar kita sentiasa bergantung pada kekuatan diri sendiri ketika berhadapan dengan masalah. Tetapi Alkitab mengajar kita bernaung pada kasih dan kekuatan Tuhan semasa dalam situasi yang paling mencabar (2 Korintus 12:9). Oleh yang demikian, kita boleh meneruskan hidup dengan penuh yakin kerana mengetahui bahawa kita tidak berseorangan dalam menghadapi segala cabaran. “Kelemahan” kita menjadi peluang bagi Tuhan menunjukkan kuasa-Nya dengan memberi kita kekuatan dan sokongan (ayat 9-10). Kemudian kita boleh menggunakan pergelutan kita itu untuk memuji Tuhan, mengucap syukur atas kebaikan-Nya, dan berkongsi dengan orang lain supaya mereka dapat mengalami kasih-Nya.