Seramai 300 pelajar dari sebuah sekolah menengah di bandar kecil Neodesha, Kansas, berjalan dalam barisan menuju ke satu perhimpunan sekolah yang istimewa. Mereka kemudiannya duduk dalam keadaan tidak percaya apabila mendengar bahawa sepasang suami isteri yang berasal dari bandar mereka itu telah memutuskan untuk membiayai yuran universiti bagi setiap pelajar di Neodesha selama 25 tahun seterusnya. Para pelajar berasa terpegun, gembira dan sebak.

Neodesha telah terjejas teruk dari segi ekonomi sehingga banyak keluarga bimbang tentang perbelanjaan anak-anak mereka di universiti. Sumbangan tersebut membawa perubahan untuk beberapa generasi, dan para penderma berharap itu akan segera membawa pengaruh yang baik kepada setiap keluarga, serta memberi insentif kepada orang lain untuk berpindah ke Neodesha. Mereka membayangkan kemungkinan bahawa melalui kemurahan hati mereka itu, peluang pekerjaan dan tenaga yang baharu akan diwujudkan—masa depan yang sangat berbeza untuk bandar tersebut.

Tuhan menghendaki umat-Nya agar bermurah hati dengan bukan sahaja memenuhi keperluan sendiri, tetapi juga membayangkan masa depan yang baru bagi sesama mereka yang sedang berjuang. Perintah Tuhan adalah jelas: “Jika seorang sesama bangsa Israel, yang tinggal di kalangan kamu jatuh miskin dan tidak mampu menyara hidupnya, kamu harus membantu dia” (Imamat 25:35). Kemurahan hati bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas fizikal, tetapi juga mempertimbangkan keperluan masa depan dalam kehidupan bersama sebagai sebuah komuniti. Tuhan berfirman, “Kamu harus membantu dia … supaya dia dapat terus tinggal di kalangan kamu” (ayat 35).

Bentuk pemberian yang paling bermakna adalah pemberian yang merubah bayangan masa depan yang berbeza. Kemurahan Tuhan yang luar biasa dan kreatif mendorong kita ke arah hari itu apabila setiap kita akan hidup bersama dalam kesatuan dan kelimpahan.