Selepas ibu saya meninggal dunia, seorang rakannya yang juga pesakit kanser datang kepada saya. “Ibu kamu sangat baik kepada saya,” katanya sambil menangis teresak-esak. “Saya minta maaf kerana dia pula yang meninggal … bukan saya.”

“Ibu saya mengasihimu,” kata saya. “Kami telah berdoa agar Tuhan mengizinkan kamu berpeluang untuk melihat anak-anak lelaki kamu membesar.” Sambil memegang tangannya, saya menangis bersamanya dan meminta Tuhan menolongnya berduka dengan tenang. Saya juga bersyukur kepada Tuhan untuk belas kasihan-Nya yang membolehkan dia terus menyayangi suami dan dua orang anaknya yang sedang membesar.

Alkitab menyingkapkan kerumitan dalam kesedihan ketika Ayub kehilangan hampir segala-galanya, termasuk semua anaknya. Ayub bersedih dan “bersujud” (Ayub 1:20). Dengan hati yang remuk namun disertai tindakan penyerahan diri yang penuh harapan dan ungkapan rasa syukur, dia mengisytiharkan, “TUHAN yang memberikan dan sekarang TUHAN pula yang mengambil semula. Terpujilah nama-Nya!” (ayat 21). Walaupun Ayub kemudian bergelut dengan kedukaannya yang sangat berat dan Tuhan membina semula hidupnya, dia tetap menerima bahkan bersukacita tentang kuasa Tuhan atas keadaan yang baik dan yang buruk.

Tuhan memahami cara kita memproses dan bergelut dengan emosi. Dia mengajak kita menghadapi kedukaan dengan hati yang tulus dan dalam kelemahan kita. Bahkan ketika kesedihan kelihatan seperti tidak berkesudahan dan tidak tertanggung, Tuhan menegaskan bahawa Dia tetap sama dan tidak akan berubah. Dengan janji ini, Tuhan memberi penghiburan dan kekuatan kepada kita untuk bersyukur atas hadirat-Nya.