Michael Dinsmore, bekas banduan dan baru menjadi Kristian, telah diminta memberi kesaksian di dalam penjara. Selepas dia bercakap, beberapa orang banduan datang kepadanya dan berkata, “Inilah pertemuan paling menarik yang kami pernah hadiri!” Michael sungguh hairan kerana Tuhan menggunakan ceritanya yang sederhana untuk menyentuh hati orang.
Dalam 1 Timotius, selepas Paulus meng-arahkan Timotius agar dia terus memberitakan Injil (1:1-11), dia berkongsi kesaksian peribadinya untuk menggalakkan orang muda ini (ayat 12-16). Dia memberitahu mengenai belas kasihan Tuhan dalam hidupnya sendiri. Paulus mengatakan bahawa dia pernah menghina Tuhan, tetapi Dia mengubah hidupnya. Dalam rahmat-Nya, Tuhan bukan sahaja menganggap dia setia dan memberikan tugas kepada dia, Tuhan juga membolehkan Paulus melakukan kerja-Nya (ayat 12). Paulus menganggap dirinya yang paling teruk antara orang-orang berdosa lain, tetapi Tuhan telah menyelamatkan dia (ayat 15).
Tuhan mampu! Itulah yang Paulus mahu Timotius melihat, dan apa yang kita perlu lihat juga. Melalui kesaksian Paulus, kita melihat rahmat Tuhan. Jika Tuhan boleh menggunakan seseorang seperti Paulus, Dia juga boleh menggunakan kita. Jika Tuhan boleh menyelamatkan orang yang paling berdosa, maka tiada orang di luar jangkauan-Nya.
Cerita kita tentang pekerjaan Tuhan dalam kehidupan kita boleh menggalakkan orang lain. Semoga orang di sekeliling anda tahu bahawa Tuhan dalam Alkitab masih bekerja pada hari ini!