Caleb jatuh sakit. Keadaannya amat serius! Doktor mendiagnosis dia menghidapi penyakit sistem saraf, sehingga dia yang berumur 5 tahun itu menjadi lumpuh untuk sementara. Ibu bapanya yang cemas itu berdoa dan menunggu. Dengan perlahan-lahan, Caleb mula pulih. Selepas beberapa bulan, apabila doktor membenarkan dia pergi ke sekolah, Caleb hanya dapat berjalan dengan perlahan dan tertempang-tempang.

Pada suatu hari, ayah Caleb pergi melawatnya di sekolah. Dia melihat Caleb tersekat-sekat untuk menuruni tangga ke taman permainan. Kemudian dia ternampak Tyler, kawan Caleb yang kecil datang ke sisinya. Sementara budak-budak lain berlari-lari dan bermain-main, Tyler berjalan dengan perlahan di taman permainan itu dengan kawannya yang lemah itu.

Ayub juga sudah pasti menginginkan seorang kawan seperti Tyler. Namun, dia mempunyai tiga orang kawan yang menuduh Ayub bersalah. “Fikirlah, pernahkah orang yang tidak bersalah ditimpa bencana dan celaka?” tanya Elifas (Ayub 4:7). Tuduhan sedemikian menyebabkan hati Ayub amat pedih sehingga dia menyeru, “penghiburan yang kamu berikan itu hanyalah seksaan” (16:2).

Yesus bukannya seperti itu. Sebelum Dia disalibkan, Dia mengambil masa untuk menghiburkan para pengikut-Nya. Dia berjanji bahawa Roh Kudus akan kekal menyertai mereka (Yohanes 14:16), dan meyakinkan, “Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu; Aku akan kembali kepada kamu” (ayat 18). Jadi, sebelum Dia kembali kepada Bapa-Nya, Dia berkata “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman” (Matius 28:20).

Yesus yang mati demi kita juga berjalan mengiringi kita dalam mengharungi kehidupan ini, dengan langkah yang cermat dan teliti.