Gideon ialah orang biasa. Kisah hidupnya yang tercatat dalam kitab Hakim-Hakim 6, memberikan ilham kepada saya. Dia seorang petani, malah seorang petani yang penakut pula. Apabila TUHAN menyuruh dia membebaskan Israel daripada orang Midian, respons awal Gideon ialah, “Tetapi Tuhan bagaimana mungkin aku menyelamatkan umat Israel? Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagipun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku” (Hakim-Hakim 6:15). Tuhan berjanji bahawa Dia akan menyertai Gideon dan Gideon akan berjaya melakukan perkara yang disuruh oleh Tuhan (ayat 16). Ketaatan Gideon membawa kemenangan ke Israel, dan dia disenaraikan sebagai salah seorang wira kerana dia beriman (Ibrani 11:32).

Ramai individu yang lain memainkan peranan penting dalam rancangan untuk menyelamatkan orang Israel daripada musuh yang kuat. Tuhan menyediakan 300 orang lelaki yang berani untuk membantu Gideon untuk memenangi peperangan itu. Nama-nama mereka tidak dituliskan di dalam Alkitab, tetapi keberanian dan ketaatan mereka dicatatkan di dalam Alkitab (Hakim-hakim 7:5-23).

Hari ini, Tuhan masih memanggil orang biasa untuk melakukan pekerjaan-Nya dan meyakinkan kita bahawa Dia akan menyertai kita sementara kita melakukan pekerjaan-Nya. Oleh sebab kita adalah orang biasa yang dipakai oleh Tuhan, maka jelaslah bahawa kekuatan yang ada pada kita bukan berasal daripada kita sendiri, melainkan daripada Tuhan.